Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Cadangan persempadanan semula SPR terus dibantah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 OKT: Kerajaan Negeri hari ini mengemukakan bantahan terhadap cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor.

Bantahan diserahkan Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei bagi pihak Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di pejabat SPR Selangor, Kompleks PKNS, di sini.

Bercakap kepada media, Shuhaimi berharap SPR meneliti semula bantahan dikemukakan, tambahan cadangan persempadanan terbabit tidak dipersetujui banyak pihak.

“Saya percaya bantahan ini sudah diterima kebanyakan parti politik di Selangor dan mungkin (bantahan) terbesar yang pernah dikemukakan kepada SPR.

“Kita harap SPR akan mempertimbangkan semua bantahan dan mengadakan sesi pendengaran supaya syor terhadap persempadanan ini dapat dikaji semula,” katanya.

Shuhaimi 1Tindakan sama turut dilakukan KEADILAN Selangor dengan mengemukakan 11 bantahan membabitkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Muda dan Sri Andalas di bawah Parlimen Kota Raja.

Sembilan daripada bantahan itu membabitkan DUN Sri Andalas, manakala selebihnya di DUN Seri Muda.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berkata, pihaknya berjaya mengumpul hampir 1,600 tandatangan untuk mengemukakan bantahan persempadanan semula kepada SPR Selangor.

Hadir sama, Penyelaras DUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri yang turut mengemukakan lima bantahan daripada kawasannya dan akan menghantar dua lagi bantahan esok.

Difahamkan pendengaran awam berkenaannya akan diadakan pada 7 hingga 11 November ini.

-AA-