Categories
SELANGOR

Sebar mesej palsu air percuma cubaan sabotaj, iri hati

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 OKT: Kerajaan Negeri mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab dalam isu penyebaran pengurangan air percuma.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Shuhaimi Shafei menganggap tuduhan dan fitnah itu sebagai sabotaj terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri sebelum ini komited membantu mengurangkan beban rakyat sejak Pakatan mengambil alih tampuk pimpinan Selangor.

“Kenyataan itu sengaja dicetuskan untuk mengugat keharmonian rakyat Selangor.

“Walaupun jumlah RM 11.40 yang diberikan sesi rumah itu kecil tetapi rakyat berpuas hati dengan pelaksanaan program air percuma itu,” katanya kepada SelangorKini.

Shuhaimi 1Shuhaimi tidak menolak kemungkinan pihak terbabit ‘iri hati’ apabila program itu dilaksanakan kepada jutaan penduduk negeri itu.

“Saya minta mereka hentikan tuduhan ini, Kerajaan Negeri mengambil serius perkara ini dan mengecam fitnah dilakukan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Kerajaan Negeri komited menyelesaikan penstrukturan semula industri air.

“Begitu juga dengan kes pencemaran di beberapa sungai sehinggakan beberapa syarikat ditutup kerana tidak bertanggungjawab dalam hal itu,” katanya.

Semalam, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menolak dakwaan mesej tidak sahih tersebar luas di media sosial mengenai pengurangan air percuma 20 meter padu.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Amin Lin Abdullah, berkata dakwaan air percuma 20 meter padu dinikmati pelanggan domestik dengan meter individu di Selangor kepada 10 meter padu bermula November 1, 2016 adalah fitnah.

Air Selangor tidak teragak-agak melaporkan kepada pihak berkuasa.

Program pemberian 20 meter padu air percuma dilaksanakan Kerajaan Negeri di bawah Pakatan sejak 2008.

-nR-

Categories
SELANGOR

Projek jalan alternatif diteruskan, majoriti peniaga terlibat puas hati

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 OKT: Kerja menaiktaraf jalan alternatif Shah Alam-Banting membabitkan Kampung Jalan Kebun dan Johan Setia diteruskan mengikut jadual.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafei berkata, hal itu kerana penyelesaian bantahan peniaga dapat dicapai dalam beberapa siri dialog bersama agensi berkaitan.

Katanya, persoalan dan bantahan dibangkitkan peniaga sebelum ini sudah dijawab agensi dengan penerangan lengkap berkenaan jajaran dan pampasan.

Shuhaimi“Majoriti peniaga berpuas hati dengan penerangan diberikan.

“Saya berharap peniaga yang membantah kerja menaiktaraf ini memahami bahawa mengikut Kanun Tanah Negara (KTN) pampasan tidak dipertimbangkan bagi pencerobohan ke atas tanah kerajaan ataupun atas rezab kerajaan,” katanya kepada SelangorKini.

Sehubungan itu, Shuhaimi memaklumkan kerja pengosongan perlu dilakukan segera pemilik premis yang terbabit.

“Kita memahami permasalahan mereka, namun kerja menaiktaraf jalan ini perlu dilakukan kerana ia bagi mengurangkan kesesakan yang sering berlaku di kawasan ini sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Pada masa sama, Shuhaimi mengingatkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang supaya memeriksa dan mengemaskini data keluasan tanah pemilik dari masa ke semasa supaya tidak menimbulkan keraguan kepada pemilik.

“Sebagai contoh, pada tahun 90an, pampasan pernah diberikan kepada penduduk, namun PDT berkenaan tidak mengemas kini data sehingga menyebabkan berlakunya bantahan apabila sesuatu projek dijalankan.

“Sedangkan selama ini, penduduk menganggap tanah ini milik mereka,” katanya.

jalan-kebunKerja menaiktaraf jalan itu bermula pada Mac lalu dan dijangka siap Mac 2018.

Ia membabitkan penukaran lorong dua hala ke empat lorong dan pembinaan jambatan, sistem lampu isyarat, saliran parit dan longkang serta laluan jejantas di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun.

Projek membabitkan laluan sepanjang 1.2 kilometer itu menelan belanja RM35 juta.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Cadangan persempadanan semula SPR terus dibantah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 OKT: Kerajaan Negeri hari ini mengemukakan bantahan terhadap cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor.

Bantahan diserahkan Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei bagi pihak Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di pejabat SPR Selangor, Kompleks PKNS, di sini.

Bercakap kepada media, Shuhaimi berharap SPR meneliti semula bantahan dikemukakan, tambahan cadangan persempadanan terbabit tidak dipersetujui banyak pihak.

“Saya percaya bantahan ini sudah diterima kebanyakan parti politik di Selangor dan mungkin (bantahan) terbesar yang pernah dikemukakan kepada SPR.

“Kita harap SPR akan mempertimbangkan semua bantahan dan mengadakan sesi pendengaran supaya syor terhadap persempadanan ini dapat dikaji semula,” katanya.

Shuhaimi 1Tindakan sama turut dilakukan KEADILAN Selangor dengan mengemukakan 11 bantahan membabitkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Muda dan Sri Andalas di bawah Parlimen Kota Raja.

Sembilan daripada bantahan itu membabitkan DUN Sri Andalas, manakala selebihnya di DUN Seri Muda.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berkata, pihaknya berjaya mengumpul hampir 1,600 tandatangan untuk mengemukakan bantahan persempadanan semula kepada SPR Selangor.

Hadir sama, Penyelaras DUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri yang turut mengemukakan lima bantahan daripada kawasannya dan akan menghantar dua lagi bantahan esok.

Difahamkan pendengaran awam berkenaannya akan diadakan pada 7 hingga 11 November ini.

-AA-

Categories
NASIONAL

Permatang Pauh sesak, MB tunggang motor ke pusat mengundi

Oleh: HAFIZAN TAIB dan NAZLI IBRAHIM

PERMATANG PAUH, 7 MEI: Jalan raya di Permatang Pauh sesak teruk pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata, kesesakan itu menyebabkan Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali terpaksa membonceng motosikal untuk bergerak dari satu pusat mengundi ke pusat mengundi lain.

azmin“Dato’ Menteri Besar tadi menaiki motor dari sekolah Permatang Rawa. Sekarang, beliau menuju ke Sungai Dua menunggang motor,” kata Shuhaimi ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan 24,042 atau 33.44 peratus pengundi keluar mengundi sehingga jam 11.00 pagi ini.

Mengulas peratusan keluar mengundi, Datuk Seri Dr Wan Azizah menyeru pengundi Permatang Pauh melunaskan tanggungjawab mereka.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tidak musuhi polis, soalan Azmin hanya untuk IGP

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 MEI: Perkataan ‘barua’ yang ditanya Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali adalah soalan khusus kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bukan seluruh anggota polis.

Setiausaha Politiknya, Shuhaimi Shafiei berkata, pertanyaan Mohamed Azmin itu demi kebaikan keseluruhan institusi dan pasukan polis supaya bebas pengaruh politik.

Beliau menegaskan Mohamed Azmin tidak pernah bermusuh dengan anggota polis terutama yang menjalankan tugas secara profesional.

azmin“Dalam banyak ceramah pimpinan Pakatan Rakyat (PR), Mohamed Azmin khususnya menyatakan tidak bermusuh dengan anggota polis peringkat bawah, terutama yang menjalankan tugas secara profesional.

“Malah, sedar ramai anggota keselamatan dan polis terutama peringkat bawah menjalankan tugas dengan dengan baik dan hanya mengikut arahan,” katanya dalam kenyataan media.

Sebelum ini, Mohamed Azmin didakwa mengeluarkan perkataan itu dalam satu ceramahnya di Kubang Ulu, Permatang Pauh.

Shuhaimi memberi contoh beberapa kes yang tiada tindakan diambil jika membabitkan pemimpin Umno BN.

yb shuhaimi“Baru-baru ini, ada kes yang melibatkan abang Ketua Polis Negara sendiri yang terlibat dengan ‘demonstrasi anti-salib’ di Petaling Jaya. Ia jauh lebih ‘lembut’ berbanding aktivis dan pimpinan PR.

“Soal siasatnya sangat singkat hanya mengambil masa beberapa minit, apakah Ketua Polis Negara tidak sedar hal itu? Kenapa perlu ada perbezaan layanan?

“Kami juga berpengalaman apabila ada mantan Ketua Polis Negara memukul pimpinan tertinggi PR,” katanya.

Shuhaimi mahu persoalan itu dijawab Ketua Polis Negara secara peribadi dan tidak membiarkan Persatuan Pegawai Kanan Polis mengeluarkan kenyataan berbeza.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor tidak perlu rujuk kerajaan pusat, kekal cemerlang dua penggal memerintah

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 3 JAN: Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor sentiasa mendahulukan rakyat dengan pelbagai program kebajikan dan tidak perlu untuk mencontohi kerajaan pusat yang sudah memasuki penggal kedua pentadbiran.

Sebaliknya Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie, berkata kerajaan pusat yang seharusnya menjadikan idea PR sebagai rujukan terutama dalam soal mengurangkan beban rakyat yang semakin meruncing.

shuhaimi shafieWalaupun kerajaan pusat mengumumkan 11 langkah penjimatan, Shuhaimi berkata, ia masih tidak memadai untuk membantu secara langsung dalam usaha meringankan beban yang terpikul berat di bahu rakyat.

“Kerajaan pusat perlu menggaris dan melaksanakan penjimatan yang lebih meluas, contohnya mereka yang tidak ada kaitan dalam kerajaan jangan dibenarkan menggunak harta dan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya.

“Seperti Rosmah Mansor, jangan biarkan dia menggunakan pesawat peribadi atas kapasiti sendiri yang tidak ada jawatan dalam kerajaan melainkan atas lawatan rasmi bersama Perdana Menteri,” katanya.

Beliau dihubungi Selangor Kini bagi mengulas kenyataan Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin yang meminta kerajaan negeri mencontohi kerajaan pusat dalam mengurangkan perbelanjaan sektor awam.

Hamidzun juga berkata, kenaikan kos sara hidup adalah satu isu universal yang bukan hanya melanda Malaysia, maka kerajaan pusat tidak patut dipersalahkan.

Pada masa sama, Shuhaimi menyarankan bekas pemimpin PKR itu berhenti daripada menjadi boneka Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), GAPS.

“Selama ini, kononnya GAPS ingin membongkar penyelewengan PR di Selangor tetapi sehingga kini tidak sebarang bukti dikemukakan. Jadi, daripada jadi tin kosong baik bubarkan GAPS yang tidak berfungsi ini dan masuk sahaja Umno kerana lagi senang begitu,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Adun PR: Pengiktirafan Ketua Pembangkang suburkan demokrasi

Grafik-Selangor-PakatanSHAH ALAM 10 Okt :  Adun Pakatan Rakyat (PR) Selangor mengalu-alukan pengiktirafan kepada peranan Ketua Pembangkang Selangor menerusi enakman khas yang akan dibentangkan nanti.

Keputusan pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu disifatkan perubahan yang amat positif untuk perkembangan politik dan sistem demokrasi di Selangor.

?Di negara-negara maju, Ketua Pembangkang sangat dihargai peranan mereka, justeru, Selangor mahu mendahului langkah itu dengan memberikan pengiktirafan ini supaya kita dapat mendidik masyarakat lebih memahami demokrasi sebenar,? kata Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafei.

Manakala Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, turut memuji dan berkata pemerintah sewajarnya menunjukkan kesaksamaan dan kesamarataan kepada semua wakil rakyat yang dipilih secara sah.

Beliau berharap supaya Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Umno-BN meneladani kematangan ini dan berhenti meminggirkan wakil rakyat pembangkang.

?Saya menyambut baik usaha Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid yang mengiktiraf setiap wakil rakyat, baik daripada Pakatan, mahupun Umno-BN dalam pentadbiran negeri. Ia patut dicontohi negeri-negeri lain,? katanya.

Sementara itu, Adun Paya Jaras, Khairuddin Othman berharap dengan inisiatif ini, Ketua Pembangkang dapat melaksa-nakan amanahnya dengan berkesan.
?Saya berharap Ketua Pembangkang lebih proaktif mencetus idea untuk membangunkan Selangor secara bersama. Kita perlukan pembangkang untuk mengimbangi peranan pemerintah dalam Dewan Negeri Selangor (DNS),? tegas beliau.

Selain itu, bagi Adun Sekinchan, Ng Suee Lim, langkah ini menjadikan Selangor sebagai ?role model? dalam memperkasakan DNS dan menjadikan sistem demokrasi lebih sihat.

?Nampaknya, syor saya dalam pembukaan DUN baru-baru ini akhirnya terlaksana. Sebagai Adun, saya menyambut baik langkah Kerajaan Negeri yang mampu membuat pembaharuan ini. Ia sejajar dengan peranan DNS yang dikagumi dan disegani,? tegas beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Shuhaimi: Jangan Main Kotor, Saya Ada ‘Bom Atom’

mariah shuhaimi walkabout 04

KLANG, 24 APRIL : Shuhaimi Shafei akan mengeluarkan ‘bom Atom’ sekiranya calon lawannya daripada BN, Raouf Mokhtar menggunakan taktik kotor dalam berkempen.

Tegas Shuhaimi, Pakatan Rakyat mahu kempen Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) kali ini diadakan secara demokrasi bukannya serangan peribadi.

Katanya, beliau menjangkakan pelbagai tohmahan yang akan dilontarkan kepadanya termasuk pemilikan banglo bernilai RM3 juta di Kota Kemuning.

“Dua hari lepas, mereka kata mempunyai senjata sulit untuk melawan kita tetapi saya ingatkan saya juga ada bom atom sulit yang masih aktif.

” Bom atom yang akan kita bongkarkan bergantung kepada tahap kempen calon lawan,” katanya kepada pemberita selepas memberikan penerangan dasar Kerajaan Negeri Selangor kepada golongan ibu tunggal dan warga emas di Jalan Kebun.

Dalam pada itu, Shuhaimi yakin mempertahankan kerusi DUN Sri Muda berikutan sokongan pengundi atas pagar meningkat.

” Banyak kubu kuat Umno-BN beralih kepada kita. Sebagai contoh pada 2008 bilik gerakan di kampung Baru 2 ini kita tidak boleh masuk langsung tetapi kini sudah berubah.

” Kita sudah kuasai lokaliti di sini. Semua menyokong kita, saya yakin BN sukar tembusi kawasan ini,” katanya.

Shuhaimi turut berpuas hati kerana visi peribadinya kepada penduduk Sri Muda terlaksana apabila tiga masjid sudah dilaksanakan.

” Hasrat bantu bina tiga masjid tercapai. Antaranya masjid Sri Muda, Kampung Johan Setia dan Kota Kemuning. Dua daripanya memohon sudah lebih 20 tahun tetapi tidak dihiraukan.

” Begitu juga dengan jalan di kampung Lombong, berpuluh tahun tidak dibaiki, kini susah siap,” katanya.

Beliau turut menawarkan beberapa janji jika diberikan mandat kembali.

Antaranya, masalah banjir, isu pendatang tanpa izin di Taman Sri Muda dan penubuhan pekan Kota Raja untuk dibangunkan serta dimajukan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tanah Kompleks Sukan Dijadikan Pangsapuri Mewah

PC Ng Suee Lim SAT1M Taman Seri Muda 02

SHAH ALAM 24 JAN : Dahulu, masyarakat sekitar Seksyen 25, Taman Sri Muda sepatutnya mendapat sebuah Kompleks Sukan Rekreasi dan Pusat Komuniti bagi tujuan riadah dan majlis keramaian mereka.

Tetapi akibat daripada campurtangan politik pada zaman pentadbiran Umno-BN, tanah tujuh ekar untuk projek-projek tersebut telah digunakkan untuk mendirikan sebuah projek pangsapuri mewah dengan 691 unit.

Projek pembangunan lima blok pangsapuri tujuh hingga 14 tingkat dengan itu dimulakan selepas mendapat persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN) pada 2007.

Timbalan Setiausaha DAP negeri, Ng Suee Lim mendakwa, tanah itu diberikan milik kepada Umno Bahagian Kota Raja dengan bayaran harga nominal iaitu sebanyak RM1,000 sahaja berbanding harga pasaran sebanyak kira-kira RM 10 juta.

Katanya, tanah terbabit merupakan salah satu daripada 24 keping tanah di seluruh negeri yang dibeli pada harga yang begitu murah, iaitu premium RM 1 setiap metre persegi, oleh parti Umno-BN.

Beliau yang juga Adun Sekinchan mendakwa tanah di Taman Sri Muda itu sepatutnya dibahagikan antara Umno Bahagian Kota Raja dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Dalam jawatankuasa tanah Pejabat Tanah daerah Klang menetapkan sebanyak 4 ekar diberikan kepada MBSA dana tiga ekar lagi kepada Umno bahagian Kota Raja dengan bayaran mengikut harga semasa.

“Bagaimanapun selepas MKKN, 4 ekar diberikan kepada Umno dan 3 ekar diberikan kepada MBSA dengan harga nominal sebanyak RM1,000 sahaja.

“Bagaimanapun, apa yang kita lihat dan mengikut pelan pembangunan yang diperolehi, hampir kesemua tanah tujuh ekar itu dimiliki oleh Umno bahagian Kota Raja.

?MBSA hanya mendapat sebuah dewan yang keluasannya tidak sampai satu ekar,” katanya dalam sidang media di tapak projek pembangunan itu.

Hadir sama Ketua Penerangan PKR negeri, Shuhaimi Shafei.

Suee Lim menambah pada tahun 2005, sebanyak 11 permohonan dari syarikat swasta untuk membina bangunan kediaman atau perniagaan.

Tetapi permohon juga diterima untuk membina kompleks sukan itu, iaitu daripada bekas Adun Seri Muda ketika itu Datuk Amzah Omar.

“Oleh kerana kroninya, mereka memberikan kepada beliau yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Kota Raja,” katanya.

Sementara itu, Shuhaimi berkata skandal yang dinamakannya ?Sapu Tanah 1 Malaysia? (SaT1M) itu merupakan satu lagi bukti penyelewengan yang dilakukan Umno-BN.

“Menjadi pertikaian skandal SaT1M ini apabila kita dapat lihat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dipergunakan oleh parti politik mereka (Umno-BN).

“Hasil kerjasama Umno-BN dan pemaju membolehkan parti itu mendapat keuntungan berjuta ringgit. Harga seunit pangsapuri ini kini mencecah lebih RM250,000,” katanya.

Sehubungan itu, mereka mengesyorkan pihak yang terlibat dalam perkara terbabit membayar sejumlah wang kepada MBSA berikutan tanah milik MBSA yang turut diambil bagi kegunaan pembangunan itu.

PC Ng Suee Lim SAT1M Taman Seri Muda 01 PC Ng Suee Lim SAT1M Taman Seri Muda 03

Categories
SELANGOR

Kilang Haram Di Batu 8 Ancam Penduduk

SHAH ALAM 20 SEPT : Kegiatan kilang besi dan aluminium yang beroperasi secara haram di Batu 8, Jalan Bukit Kemuning sejak lima tahun lalu didakwa menimbulkan masalah kepada penduduk di kawasan terbabit.

Penduduk mendakwa mereka bukan sahaja tidak tahan dengan bunyi bising malah ia juga mengancam nyawa penduduk kerana kekerapan lori keluar masuk di jalan utama perumahan itu.

Lebih teruk lagi, kilang haram itu dikatakan beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 11 malam.

Kini, sebuah lagi kilang haram yang baru dibuka dibahagian belakang rumah mereka sejak tiga bulan lalu menjadikan rumah mereka dihimpit oleh kedua-dua kilang itu.

Malah, penduduk turut berhadapan dengan masalah habuk yang menyebabkan kediaman dan kenderaan mereka berhabuk serta disaluti cat akibat penyemburan cat daripada kilang terbabit.

Penduduk, A.Ragueathi, 32, berkata penduduk berasa rimas dengan pencemaran yang terpaksa dihadapi mereka.

Katanya, sudah banyak kali teguran dibuat ke atas pemilik kilang itu bagaimanapun tidak diendahkan.

“Kami sudah tidak tahan dengan bunyi bising dan habuk disebabkan masalah ini, rumah kami mempunyai kanak-kanak, kami mahu tidur juga tidak lena sebab terlalu bising.

“Kami juga sudah penat kerana banyak kali menegur pemilik kilang ini tetapi mereka buat tidak endah seolah-seolah tiada apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu dalam lawatan Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafei serta Jabatan Perancangan dan Kawalan Bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ke kilang terbabit mendapati kilang terbabit didirikan diatas lot kediaman dan beroperasi secara haram.

Kedua-dua kilang itu dikenakan saman dan notis pengosongan bangunan oleh Jabatan Perancangan dan Kawalan Bangunan MBSA dalam tempoh dua minggu selepas notis dikeluarkan.

Shuhaimi berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka masih berdegil meneruskan operasi itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerja Naik Taraf Longkang Batu 8, Shah Alam Masih Dijalankan

SHAH ALAM 20 SEPT : Penduduk di sekitar Jalan Batu Bata dan Taman Bukit Kemuning, Batu 8 di sini diminta bersabar dengan masalah banjir ekoran kerja-kerja menaiktaraf longkang saliran dan jalan di kawasan itu masih dalam pembinaan.

Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafei berkata pihaknya menerima aduan daripada beberapa penduduk yang tidak berpuas hati dengan kerja-kerja menaiktaraf itu.

Katanya, penduduk sebelum ini mendakwa pihak kontraktor tidak menjalankan kerja-kerja dengan sempurna.

“Kerja-kerja pembinaan itu sebenarnya masih belum siap sepenuhnya, ia dijangka siap hujung bulan ini,” katanya ketika ditemui dalam lawatan ke kawasan terbabit.

Sebanyak RM 1.5 juta diperuntukkan bagi program penyelenggaraan jalan dan longkang di bawah geran MARRIS dan Selangorku untuk menaiktaraf jalan itu.

Katanya, kerja-kerja menaiktaraf longkang saliran dan jalan di Jalan Batu Bata sepanjang 800 meter itu bermula Julai lalu.

Di dalam isu yang berlainan, Shuhaimi berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Projek Lintasan Shah Alam Sdn Bhd (prolintas) telah diminta untuk menyelenggara saliran air di bawah terowong Sungai Kandis yang tersumbat.

Saliran tersebut tersumbat dengan dahan pokok dan rumput yang tumbuh di bawah laluan Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA).

Banjir tersebut telah melanda sembilan kawasan iaitu Kampung Bukit Naga, Seri Gambut, Bandar Putera, Taman Sri Muda, Kemuning Residence, Bukit Rimau, Kota Kemuning dan Batu 8, Jalan Bukit Kemuning.

Categories
NASIONAL

Tawan Selangor : MPN Beri Harapan Palsu kepada Umno-BN

SHAH ALAM 30 JULAI : Hasil kedua-dua kajian yang dibuat oleh Majlis Profesor Negara (MPN) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mengatakan bahawa Selangor akan jatuh ke tangan Umno-BN dilihat hanya memberi harapan palsu kepada Umno-BN.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafei berkata setiap hasil kajian dan rumusan itu hanya sebagai ‘info’ umum kepada rakyat.

Katanya, Umno-BN boleh memberi saingan sengit kepada Pakatan Rakyat bagaimanapun mereka mungkin akan kehilangan kuasa untuk memerintah di Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan Perak.

Beliau berkata harapan palsu itu akan membuatkan Umno-BN mengambil serius sehingga lupa pepatah ‘yang dikejar tidak dapat dan yang dikendong berciciran’.

“Apa juga rumusan ia hanya sebagai info umum yang penting kita ada data berkenaan kelebihan dan kekurangan kedua-dua pihak.

“Hanya kami yang lebih mengetahui sama ada mereka (Umno-BN) mampu untuk merampas Selangor atau tidak. Ia satu perkara yang tidak berbaloi kepada MPN dan UKM yang memberikan harapan palsu kepada mereka,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Jelas Shuhaimi, terdapat beberapa perkara yang mungkin terlepas pandang dalam kajian itu antaranya orang yang terlibat dalam kajian itu dan ‘mood’ mengundi.

“Jika dilihat, masa kini Selangor diasak dan diputarbelitkan dalam beberapa isu oleh media arus perdana contohnya isu air dan sampah.

“Kajian itu dilakukan oleh pihak yang memihak kepada Umno-BN jadi ia tidak diiktiraf. Tetapi kalau kajian dibuat daripada badan bebas antaranya Merdeka Center atau badan-badan yang dikawal selia oleh agensi luar mungkin ia berbeza,” katanya.

Justeru, walau apa jua keputusan daripada kajian itu, Pakatan Rakyat sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum-13 akan datang.

“Kita sudah bersedia bukan sahaja dari segi fizikal, mental tetapi juga dari segi persediaan logistik bahan kempen bilik gerakan.

“Kita lakukan tanpa menunggu hasil kajian yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak tetapi berasaskan apa yang dibuat oleh Jawatankuasa Pilihanraya Pusat dan Negeri. Kita tidak perlu mengambil serius perkara itu kerana apa yang penting kita terus memantapkan gerak kerja,” katanya.