Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ban siap sebelum air pasang besar kedua

OLEH SYASYA SUFIAN

KLANG, 13 OKT: Exco Infrastruktur bersama pengarah jabatan yang bertanggungjawab turun padang bagi memastikan kerja membaiki benteng atau ban siap pasang sepenuhnya.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, beliau bersama pihak berwajib membuat lawatan untuk melihat ban yang dibina bagi menghadapi fenomena air pasang besar kedua yang dijangka, pada 16 hingga 20 Oktober ini.

“Hari ini kita turun untuk memastikan peruntukan RM4.3 juta yang diperuntukkan membaiki semua ban rosak akibat air pasang yang berlaku pada bulan lepas siap dibaiki.

ybzaidy-2“Kita juga sedia maklum, dijangka air pasang besar akan berlaku setinggi 5.7 meter,” katanya selepas lawatan di Kampung Tok Muda, Kapar, di sini, hari ini.

Zaidy berkata, selain itu 21 pam turut turut dipasang di daerah Klang untuk menolak balik air ke laut.

Sementara itu, Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara, Dato’ Ir Rohaizi Mohd Jusoh berkata, setinggi dua kaki benteng guni beg pasir dipasang di Kampung Tok Muda dan beberapa kawasan lain untuk mengukuhkan lagi benteng.

“Kerja yang kita lakukan hari ini adalah untuk meninggikan ban sedia ada hingga dua kaki dengan menggunakan kaedah guni pasir untuk menahan air laut dari masuk ke kawasan Kampung Tok Muda.

“Beg pasir ini akan dipasang sepanjang 350 meter yang dijangka siap hari ini atau selewatnya esok. Penambahan ini juga adalah inisiatif bersama Kerajaan Negeri demi keselamatan orang ramai,” katanya.

Turut hadir, ADN Sementa, Dr Daroyah Alwi; Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor dan Pengarah Jabatan Pengairan Selangor, Hashim Osman.

-NFN-