Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Givi Honda Yuzy Racing raih keputusan terbaik

SHAH ALAM 25 OKT: Pasukan Givi Honda Yuzy Racing meraih keputusan terbaik pada musim 2016 apabila dua pelumbanya menjuarai perlumbaan CP130 dan CP115 pada saingan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan.

Selepas berusaha mengejar kemenangan pertama musim ini, penantian mereka berakhir di Jempol apabila Mohd Zaqhwan Zaidi memenangi perlumbaan CP130 namun gagal menghalang Kasma Daniel Kasmayudin daripada mengesahkan gelaran juara keseluruhan CP130.

Manakala pelumba berusia 17 tahun, Azroy Hakeem Anuar pula mengungguli saingan CP115.

Meskipun begitu, musim 2016 bukanlah musim cemerlang buat pasukan kendalian bekas pelumba negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini itu kerana sasaran utama mereka adalah memenangi gelaran CP130.

Namun komitmen Shahrol Yuzy terhadap kepentingan karier pelumba lebih menjadi keutamaan.

“Dari segi persediaan jentera, tidak banyak perubahan yang dilakukan sejak Pusingan 1 di Selangor, Mac tempoh hari.

yuzy-with-azroy“Malah keputusan pada peringkat awal musim menunjukkan kami berupaya untuk bersaing mengejar kejuaraan.

“Namun, malangnya Zaqhwan tidak dapat beraksi dalam tiga perlumbaan berturut-turut sekaligus menutup peluang dan kehilangan mata yang banyak,” katanya.

Zaqhwan terpaksa melepaskan aksi Pusingan 5 di Teluk Intan apabila dipilih beraksi dalam perlumbaan berprestij Suzuka 8-Hour Endurance yang bertembung dengan tarikh perlumbaan.

Manakala dia tidak beraksi dalam dua pusingan berikutnya, Pusingan 6 di Kemaman dan Pusingan 7 di Pasir Gudang akibat masalah kecederaan.

“Jika diikutkan, Zaqhwan boleh beraksi di Pasir Gudang mengutip mata memperbaiki kedudukan memandangkan kecederaannya belum pulih 100 peratus. Namun, pada masa sama dia sedang mendahului kedudukan keseluruhan SuperSports 600cc di Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC).

“Kami memutuskan merehatkan Zaqhwan kerana bagi kami keutamaan adalah untuk dia bersaing merebut gelaran di pentas ARRC.

“Sekalipun terlepas gelaran, namun kami gembira kerana Zaqhwan dan Azroy berjaya meraih kemenangan untuk membuktikan keupayaan mereka dan pasukan,” kata Yuzy.

EZY