Categories
SELANGOR

Empat pusat pemindahan sementara ditutup

SHAH ALAM 19 OKT: Empat pusat pemindahan sementara banjir di Daerah Sabak Bernam ditutup setelah semua kawasan penempatan selamat diduduki semula penduduk.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata pusat pemindahan sementara banjir itu adalah di Dewan Sungai Air Tawar, Dewan Parit Baru, Dewan Seri Sekinchan dan Dewan Sri Bernam, Sungai Besar.

Katanya, keputusan itu setelah Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Daerah membuat keputusan menutup semua empat pusat pemindahan banjir dan membenarkan semua mangsa pemindahan pulang ke kediaman mulai jam 12 tengah hari.

“Pusat pemindahan sementara diletakkan semula di bawah status aktif (tanpa mangsa). Dalam pada sama, Bilik Gerakan Bencana terus dibuka sehingga 21 Oktober 2016 (Jumaat),” kata Dr Daroyah dalam kenyataan media.

Beliau berkata menurut Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS), berdasarkan pemantauan sehingga jam 9.00 pagi mendapati satu lokasi rebakan benteng dijangka dapat dibaiki sepenuhnya pada hari ini.

Manakala satu kawasan limpahan air melepasi benteng berada di kawasan jauh dari penempatan penduduk, tiada kerosakan serius pada benteng pesisir pantai di sana.

Beberapa lokasi lain limpahan air yang minima sekadar melintasi jalan berhampiran kawasan pantai.

“Walaubagaimanapun, pihak JPS, Polis dan Unit Bencana Daerah akan terus membuat pemantauan benteng dan kawasan penempatan penduduk berhampiran pantai supaya tindakan pemberitahuan dan pemindahan segera dapat dilakukan jika berlaku banjir.

“Kesemua aset menyelamat diletakkan dalam keadaan bersiap-sedia di Jabatan masing-masing dan boleh digerakkan sekiranya diperlukan pada bila-bila masa,” katanya.

Sehingga jam 2.30 petang tadi, hanya dua pusat pemindahan sementara berstatus aktif dengan mangsa iaitu di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda dan Dewan Dato’ Ahmad Razali, Batu 4 seramai 97 keluarga dengan 405 mangsa.

Manakala 15 lagi pusat pemindahan sementara berstatus aktif tanpa mangsa.

EZY