Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air laut pasang besar rekod paras tertinggi 20 tahun, keadaan terkawal

SHAH ALAM, 18 OKT: Fenomena air laut pasang besar di Selangor setakat hari ini direkodkan tertinggi sejak 20 tahun lepas, apabila mencatat bacaan ketinggian paras air laut 5.8 meter, pada 6.50 pagi tadi.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata fenomena lazim berlaku setiap tahun melanda lima daerah di negeri itu bagaimanapun tidak melibatkan pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 11 pagi tadi.

“Berlaku limpahan kecil air di kawasan penempatan berhampiran pantai di lima daerah iaitu Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sepang pagi tadi namun kini ia sudah mulai surut.

“Di Kuala Selangor berlaku kejadian hakisan ban dan benteng di Kampung Sungai Janggut, Jeram dan beberapa rumah telah dimasuki air sehingga paras betis akibat limpahan air laut.

Yap Yong Ho, 22, mengeluarkan air bertakung di dalam kasut ketika menyeberang kawasan halaman rumah beliau yang dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar di Kampung Sungai Janggut, Klang pada 18 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Hanya sedikit limpahan kecil juga dikesan melepasi ban atau benteng di kawasan Bagan Pasir Tanjung Karang, jalan masuk Apartment Budiman, rekreasi pantai Sungai Kajang, Jalan Sungai Dungun, Kampung Tok Adam, Bagan Sungai Janggut, Kampung Bagan Sungai Kajang, Jeti Nelayan Sungai Kajang, Pekan Sungai Buloh Sasaran dan Jalan Taman Senangin Sasaran di sekitar daerah ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Izzat Haziq berkata terdapat runtuhan kecil di Ban Kampung Nelayan Telok Gong, Pelabuhan Klang, Klang dan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran negeri akan melaksanakan pembaikan dalam kadar segera.

“Beberapa kawasan di daerah itu turut dikesan mengalami limpahan air iaitu antaranya kawasan Ban Sungai Keramat Kampung Batu 4, Ban Batu 7 (Kampung Sementa), Kampung Tok Muda, Pengkalan Nelayan Batu 7 Kampung Sementa, Pengkalan Nelayan Kampung Sementa, Jalan Banting Pandamaran, Pengkalan Sungai Udang Kampung Baru Telok Gong dan Kampung Tradisi dan Kampung Pendamar,” katanya.

Muhammad Izzat Haziq berkata cuaca yang cerah dan ketiadaan hujan antara faktor yang menyebabkan fenomena air laut pasang di lima daerah tersebut dalam keadaan terkawal.

Fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai di lima daerah di Selangor bermula semalam hingga esok, serta diramal berlaku pada 15 dan 16 November.

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Siap sedia hadapi fenomena air laut pasang besar bermula 4 Nov

SHAH ALAM 1 NOV: Kerajaan Selangor mengarahkan persediaan bencana tahap tinggi dilaksanakan melibatkan Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam bagi menghadapi fenomena air laut pasang besar.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Smart Selangor Command Centre (SSCC) dalam kenyataan media berkata berdasarkan jadual pasang surut air laut bagi Pelabuhan Klang pada 4 November 2017 sehingga 7 November 2017, paras air laut diramal akan berada pada paras yang tertinggi.

“Fenomena air laut pasang besar tertinggi diramalkan akan berlaku pada 5 November 2017 di persisiran pantai Negeri Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.6 meter.

“Sekiranya cuaca hujan lebat dan keadaan angin kencang berlaku, risiko berlakunya banjir akan meningkat,” katanya dalam kenyataan media.

Justeru itu, Kerajaan Selangor menasihatkan agar penduduk di kawasan berisiko dapat mematuhi arahan Pihak Berkuasa Keselamatan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

311 mangsa masih berada di tiga pusat penempatan banjir

SHAH ALAM, 16 NOV: Seramai 311 mangsa daripada 83 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan mangsa banjir di Selangor ekoran fenomena air pasang besar setakat jam 10 pagi tadi.

Jurucakap bilik gerakan bencana negeri berkata kesemua mangsa ditempatkan di tiga pusat pemindahan sekitar Klang dan Sabak Bernam.

“Seramai 123 mangsa dari 44 keluarga ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda, Kapar, Klang dan 117 mangsa dari 24 keluarga di Dewan Serbaguna Jalan Palembang, Kampung Rantau Panjang, juga di Klang.

“Di Sabak Bernam pula seramai 71 mangsa dari 15 keluarga berlindung di Dewan Serbaguna Sungai Air Tawar,” katanya dipetik Bernama.

Menurut jurucakap itu, secara keseluruhan, situasi di semua kawasan yang terlibat dengan fenomena air pasang besar, antaranya di Sabak Bernam, Kuala Langat, Sepang, Klang dan Kuala Selangor berada dalam keadaan selamat dan terkawal.

Bagaimanapun katanya, hujan lebat pada awal pagi tadi telah menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat antaranya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Sungai Tengar, Sabak Bernam; kawasan perumahan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Rumah Rehat Kerajaan Negeri di Pasir Penambang, Kuala Selangor; serta di Kampung Sungai Nangka, Banting.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor, Kolonel Ahmad Afandi Mohamad ketika dihubungi berkata, kerja-kerja membaiki ban di Tebuk Medeling dan Sungai Air Tawar di Sabak Bernam yang pecah pada Isnin lalu sedang dijalankan oleh pihak berwajib.

“Sementara kerja membaiki dijalankan, pihak kami menggunakan beberapa buah pam besar bagi menyalurkan air keluar ke benteng pasir berdekatan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Mangsa air laut pasang besar terus disantuni

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 16 NOV: Seramai 15 keluarga di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Sungai Tengar Utara dipindahkan ke pusat pemindahan banjir Dewan Orang Ramai Sungai Air Tawar, semalam.

Exco Kebajikan, Kesihatan dan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, mangsa dipindahkan awal pagi semalam apabila sekali lagi kediaman mereka dinaiki air seperti bulan lepas.

“Persiapan awal dilakukan semua agensi terlibat di pusat pemindahan dan pemantauan secara berterusan dilakukan dari masa ke masa demi menjadikan rakyat sebagai keutamaan.

“Penduduk juga menyatakan rasa selesa dan berpuas hati untuk tinggal sementara di pusat pemindahan.

mangsa-banjirDaroyah berkata, Kerajaan Negeri bersama Unit Bencana dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor menyampaikan sumbangan barangan dan peralatan keperluan asas kepada mangsa bagi meringankan beban mereka.

Dalam pada itu, Daroyah turut ke pusat pemindahan di Kampung Tok Muda bagi melihat keadaan dan keperluan mangsa di sana.

“Alhamdulillah mangsa air pasang kelihatan positif, bagai mengadakan acara berkelah bulanan bersama jiran tetangga ceria sambil menjamu selera.

“Mereka turut bergotong royong masak untuk makan malam bersama.

Manakala, seramai 27 lagi keluarga dari Kampung Batu 4 dipindahkan sementara di Dewan Palembang Kampung Rantau Panjang.

Difahamkan, mangsa dibenarkan pulang hari ini jika tiada sebarang masalah dilaporkan.

EZY

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Air laut pasang besar: Dua pusat pemindahan awal dibuka, ambil langkah berjaga

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 NOV: Dua pusat pemindahan banjir kini dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda dan Dewan Palembang, Rantau Panjang bagi membolehkan penduduk di sekitar zon merah bersiap sedia berpindah, malam ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr Daroyah Alwi berkata, hal itu kerana dijangka air dijangka melimpah pada awal pagi esok kira-kira jam 5 pagi ekoran fenemena air pasang besar yang dijangka berlaku esok (14 November).

“Penduduk di sekitar diminta untuk mendaftar petang ini bagi membolehkan persiapan pemindahan dan persiapan makanan dilakukan dengan lebih awal.

“Pada sebelah malam, mereka nasihatkan untuk tidur di pusat pemindahan disediakan. Bagi penduduk Batu Lima, mereka boleh mendaftar di Dewan Palembang untuk sementara waktu ekoran Dewan Ahmad Razali ditempah untuk majlis kahwin.

air-pasang-morib“Tetapi, kita akan pantau sekiranya keperluan mendesak, kita akan buka Sekolah Agama Rakyat yang berhampiran Dewan Ahmad Razali,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Selain itu, Dr Daroyah memaklumkan pihaknya sudah menggerakkan pasukan untuk masuk ke pusat pemindahan bagi memulakan persiapan penyediaan makanan dan sebagainya.

Katanya, persiapan rapi dari pelbagai agensi lain juga digerakan dan bersedia bagi hadapi sebarang kemungkinan.

“Saya juga baru melawat benteng pagi tadi dan keadaan ketika ini masih baik. Cuma kita nasihatkan supaya penduduk boleh berpindah lebih awal,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelemat negeri, Mohd Sani Harul ketika dihubungi berkata, seramai 1,400 anggota dari 32 buah anggota bomba dalam keadaan bersiap-sedia selepas fenomena air laut pasang besar yang diramal berlaku bermula Isnin ini di pesisir pantai Selangor.

Katanya, pihaknya mengarahkan anggota itu bertugas mengikut ‘shif’ selain bantuan seramai 850 anggota bomba sukarela dari 21 balai untuk bersiap-sedia 24 jam.

“Bomba turut menyediakan beberapa kelengkapan termasuklah 40 buah bot serta 18 buah lori bagi memudahkan urusan pemindahan dan sebagainya.

“Dua daerah iaitu Klang dan Sabak Bernam dikategorikan sebagai zon merah atau kawasan berisiko tinggi dilanda banjir manakala tiga daerah lagi iaitu Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sepang sebagai zon kuning, kawasan berisiko sederhana,” katanya.

Sani turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta untuk berpindah ke tempat yang ditetapkan.

Terdahulu, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor memaklumkan fenomena air laut pasang besar diramal berlaku selama lima hari bermula Isnin ini di pesisir pantai Selangor dengan ketinggian paras air mencecah 5.6 meter.

“Risiko berlakunya banjir boleh meningkat sekiranya hujan lebat dan angin kencang turut melanda pada masa yang sama.

“Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan semua agensi berkaitan membuat persediaan bagi menghadapi bencana tahap tinggi di semua daerah terlibat,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Empat pusat pemindahan sementara ditutup

SHAH ALAM 19 OKT: Empat pusat pemindahan sementara banjir di Daerah Sabak Bernam ditutup setelah semua kawasan penempatan selamat diduduki semula penduduk.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata pusat pemindahan sementara banjir itu adalah di Dewan Sungai Air Tawar, Dewan Parit Baru, Dewan Seri Sekinchan dan Dewan Sri Bernam, Sungai Besar.

Katanya, keputusan itu setelah Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Daerah membuat keputusan menutup semua empat pusat pemindahan banjir dan membenarkan semua mangsa pemindahan pulang ke kediaman mulai jam 12 tengah hari.

“Pusat pemindahan sementara diletakkan semula di bawah status aktif (tanpa mangsa). Dalam pada sama, Bilik Gerakan Bencana terus dibuka sehingga 21 Oktober 2016 (Jumaat),” kata Dr Daroyah dalam kenyataan media.

Beliau berkata menurut Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS), berdasarkan pemantauan sehingga jam 9.00 pagi mendapati satu lokasi rebakan benteng dijangka dapat dibaiki sepenuhnya pada hari ini.

Manakala satu kawasan limpahan air melepasi benteng berada di kawasan jauh dari penempatan penduduk, tiada kerosakan serius pada benteng pesisir pantai di sana.

Beberapa lokasi lain limpahan air yang minima sekadar melintasi jalan berhampiran kawasan pantai.

“Walaubagaimanapun, pihak JPS, Polis dan Unit Bencana Daerah akan terus membuat pemantauan benteng dan kawasan penempatan penduduk berhampiran pantai supaya tindakan pemberitahuan dan pemindahan segera dapat dilakukan jika berlaku banjir.

“Kesemua aset menyelamat diletakkan dalam keadaan bersiap-sedia di Jabatan masing-masing dan boleh digerakkan sekiranya diperlukan pada bila-bila masa,” katanya.

Sehingga jam 2.30 petang tadi, hanya dua pusat pemindahan sementara berstatus aktif dengan mangsa iaitu di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda dan Dewan Dato’ Ahmad Razali, Batu 4 seramai 97 keluarga dengan 405 mangsa.

Manakala 15 lagi pusat pemindahan sementara berstatus aktif tanpa mangsa.

EZY

Categories
SELANGOR

497 mangsa dipindah kesan air laut pasang besar

SHAH ALAM 19 OKT: Jumlah penduduk dipindahkan ke lima pusat pemindahan di sekitar Selangor kekal 497 mangsa sehingga jam 8.30 pagi ini.

Jurucakap Unit Pengurusan Bencana Selangor berkata daripada jumlah itu, seramai 167 orang adalah penduduk dari Kampung Batu 5, Kapar, Klang yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Datuk Ahmad Razali, Kapar.

Seramai 236 orang mangsa lagi adalah dari Kampung Tok Muda, Kapar dan 94 orang dari beberapa kampung sekitar daerah Sabak Bernam.

Mereka ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Sungai Air Tawar, Dewan Parit Baru dan Dewan Seri Sekinchan di Sabak Bernam.

Sementara itu, Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata ban Sungai Keramat di Kampung Batu 5 yang sedang dibaiki, pecah semula ketika air pasang menyebabkan banjir di kampung berkenaan.

“Kerja-kerja pembaikan ban dilakukan secara berperingkat bergantung kepada pasang surut Sungai Puluh,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Ahmad Fairuz berkata, air turut melimpah melepasi sepanjang ban di Kampung Tok Muda, namun kawasan penempatan dan jalan raya tidak dinaiki air.

Di daerah Sabak Bernam pula, beliau berkata, benteng Sungai Air Tawar yang dibaiki semalam kerana pecah, rebak semula sepanjang 200 meter.

“Benteng Sungai Tebuk Mendeleng pula dilimpahi air ketika air pasang dan terdapat keretakan pada benteng tersebut.

Bagaimanapun, keadaan selamat dan terkawal kerana penduduk telah berpindah awal ke pusat pemindahan,” katanya lapor BERNAMA.

Tambah Ahmad Fairuz, terdapat juga limpahan air laut di pesisiran Pantai Kelanang, Kuala Langat namun keadaan masih selamat.

EZY

Categories
SELANGOR

Siap sedia hadapi gelombang kedua air laut pasang besar 15 Okt

SHAH ALAM 5 OKT: Penduduk yang tinggal berhampiran pesisiran pantai melibatkan Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam diarahkan bersiap sedia menghadapi fenomena air pasang besar pusingan kedua dijangka bermula 15 Oktober ini.

Pejabat Tanah Daerah Klang (PTDK) selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah juga mengarahkan beberapa agensi terlibat seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri membuat persediaan mulai sekarang.

Jurucakap PTDK berkata, arahan persediaan menghadapi bencana peringkat tinggi berkaitan fenomena air pasang besar itu dikeluarkan kelmarin, berikutan kejadian itu dijangka lebih besar daripada 19 September lalu.

“Berdasarkan jadual pasang surut air laut, beberapa kawasan di daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam diletakkan dalam persediaan peringkat tinggi bermula 15 Oktober ini.

“Mengikut jadual itu juga, kita meramalkan pasang surut air laut di Pelabuhan Klang dan paras air laut diramal berada pada paras tertinggi dari 16 hingga 19 Oktober,” katanya dalam kenyataan media.

air-pasang1Antara kawasan berisiko tinggi mengalami banjir akibat limpahan air laut dari 15 hingga 21 Oktober ini ialah Sungai Serdang, Bandar Klang, Taman Melawis, Kampung Tok Muda, Pandamaran, Taman Selat Damai, Kampung Sungai Pinang, Kampung Sungai Lima dan Pulau Ketam di daerah Klang.

Diikuti, Kampung Sungai Air Tawar dan Sungai Tengar di Sabak Bernam; Pasir Penambang, Bagan Pasir dan Pantai Remis di Kuala Selangor; pesisiran Pantai Bagan Lalang di Sepang; dan Pantai Kelanang serta pesisir Pantai Tanjung Sepat di Kuala Langat.

Serentak itu katanya, pihaknya melaksanakan simulasi kecemasan bermula 15 Oktober ini termasuk pemantauan pesisir pantai oleh polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Setiap aset bagi kegunaan, operasi pemindahan, mencari dan menyelamat juga ditempatkan di lokasi strategik, manakala pusat pemindahan dibuka bermula jam 2 petang pada 15 Oktober bagi menggalakkan pemindahan secara sukarela oleh penduduk di kawasan berisiko tinggi.

“Bilik Gerakan Bencana Daerah dibuka 24 jam bermula jam 2 petang pada 15 Oktober dan Pusat Kawalan Operasi Bencana melibatkan polis, bomba dan APM juga dibuka di kawasan selamat berhampiran penempatan berisiko tinggi.

“Sistem perparitan JPS, JKR dan PBT serta benteng pesisir pantai juga akan dipastikan berada dalam keadaan baik,” ujarnya.

Semua arahan itu, kata jurucakap berkenaan, berkuatkuasa 15 hingga 21 Oktober.

Orang ramai boleh menghubungi talian 03-55447324 bagi Bilik Gerakan Bencana Negeri dan 03-80642400 untuk Pusat Kawalan Bencana Negeri.

EZY

Categories
SELANGOR

Penduduk anggap fenomena air laut pasang besar terburuk sejak 1952

OLEH NORHAYATI UMOR

KAPAR, 21 SEPT: Penduduk di Kampung Tok Muda, Kapar di sini, menyifatkan kejadian banjir akibat fenomena air laut pasang besar yang bermula awal pagi Ahad lalu adalah yang terburuk setakat ini.

Ketua Kampung, Hihailani Surit, 69, berkata banjir kali ini merupakan banjir kedua berlaku selepas  1952.

Katanya, rata-rata penduduk tidak menyangka banjir seperti itu berlaku kembali di kampung mereka.

“Banjir ini kali kedua berlaku. Kali pertama berlaku pada tahun 1952, bagaimanapun kali ini tidak teruk seperti dahulu. Air laut naik tinggi melepasi ban.

“Rata-rata penduduk terkejut kerana banjir berlaku awal pagi dan begitu cepat naik ke rumah,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Hihailani mahu semua penduduk kampung berwaspada dengan kejadikan seperti itu yang berkemungkinan akan berlaku lagi selepas ini.

Bagi Azizah Jumeri, 52, pula berkata kejadian banjir itu membuatkan beliau sekeluarga panik selepas terjaga dari tidur.

Katanya, mereka mula menyedari air naik ke rumah kira-kira jam 7 pagi, Ahad.

banjir12“Kami sekeluarga baru sampai dari Terengganu lewat malam itu, kerana terlalu penat kami tidak sedar air sudah masuk dalam rumah separas betis.

“Adir ipar saya dengan pantas mengejutkan semua ahli keluarga kerana air terlalu deras. Kami tidak menyangka berlaku banjir kerana untuk saya ini kali pertama berlaku selepas saya pindah ke sini kira-kira 10 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata banyak kelengkapan rumah tidak dapat diselamatkan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Ahtan berkata kesemua mangsa 152 orang dari 34 keluarga dibenarkan pulang petang ini.

Katanya, ia selepas tinjauan bomba ke lokasi pagi tadi dan pandangan ahli mesyuarat serta persetujuan Pegawai Daerah untuk menutup operasi.

“Mangsa akan dibenarkan pulang petang ini dan operasi ditutup jam 12 tengah hari,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Ban rosak selesai dibaiki JPS ekoran air pasang besar

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 21 SEPT: Ban rosak dan putus di dua tempat di Sungai Air Tawar akibat fenomena air pasang besar selesai dibaiki Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata tindakan segera itu memungkinkan 15 keluarga dari Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Sungai Air Tawar dibenarkan pulang dari pusat pemindahan banjir.

“Kerajaan Negeri mengambil langkah segera bagi menghalang kemasukan air laut di kawasan terlibat.

“Kerosakan ban di Kampung Sungai Lang dan Kampung Sungai Apong juga dalam proses pembaikian segera,” katanya kepada SelangorKini.

whatsapp-image-2016-09-21-at-09-53-54Semalam, beliau melakukan tinjauan di beberapa ban pecah di sekitar Sabak Bernam.

Bermula 18 September lalu, beberapa kawasan pantai di Selangor mula mengalami fenomena air pasang besar luar biasa, sepertimana pernah berlaku pada 2006.

Zaidy berkata, hal ini berlanjutan pada tahun ini khususnya pada minggu ketiga setiap bulan dan paras air dijangka mencecah sehingga 5.7 meter.

“Penduduk di penempatan berhampiran diminta berjaga-jaga kemungkinan berlakunya banjir.

“Penduduk juga diingatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat terkini serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari masa ke masa,” katanya.

EZY