Categories
NASIONAL

FOMCA: Wajib ada lokasi kitar semula telefon pintar

SHAH ALAM, 13 OKT: Syarikat pengeluar telefon di negara ini wajib menyediakan lokasi khas bagi tempat pembuangan telefon pintar rosak supaya ia boleh dikitar semula.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, lokasi khas itu boleh dijadikan satu daripada elemen penting dalam undang-undang e-sisa yang bakal
dikuat kuasa, pada 2018.

Beliau berkata, langkah itu mengambil ‘inspirasi’ daripada pengasingan sisa pepejal seperti sampah sarap kepada beberapa bahagian.

“Dalam undang-undang baru, syarikat pengeluar telefon perlu menyediakan lokasi khas untuk pembuangan telefon pintar rosak.

“Jika boleh, syarikat pengeluar beli semula telefon itu daripada pengguna dengan membayar sedikit insentif, sekali gus mampu menarik minat pengguna menjualnya,” katanya lapor BERNAMA.

Pada masa sama, Mohd Yusof turut mencadangakan kerajaan supaya menguatkuasakan undang-undang dengan mengenakan tindakan terhadap pemilik telefon pintar yang gagal membuang telefon pintar rosak.

Katanya, ia bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap kesedaran mengitar semula telefon pintar.

YUSOF FOMCA“Sebelum ini, orang ramai membuang sisa telefon pintar merata-rata tempat hingga membahayakan nyawa sedangkan ia mengandungi komponen bertoksik.

“Komponen plumbum pada telefon pintar rosak mampu merosakkan sistem saraf dan buah pinggang, manakala bahan merkuri boleh menyebabkan insomnia,” katanya.

Yusof turut meminta semua pihak supaya memainkan peranan termasuk syarikat pengeluar telefon pintar dengan menjalankan kempen kitar semula dan menggalakkan orang ramai membuangnya secara sukarela.

Ditanya berkenaan pengguna telefon pintar yang masih menyimpan telefon lama mereka, Yusof berkata, tidak salah menyimpannya sebagai koleksi, namun ia mesti diasingkan daripada komponen berbahaya untuk mengelak kemudaratan kepada kesihatan.

-AA-