Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Mentor Tangan Bersih jelajah tadika

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 OKT: Program perintis pendidikan khas, ‘Mentor Tangan Bersih’ bakal menjelajah ke tadika seluruh Selangor, sepanjang Oktober ini.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia mensasarkan penglibatan seramai 20,000 kanak-kanak bagi mempelajari cara berstruktur daripada usia awal.

“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kepentingan kebersihan diri serta mengelakkan diri daripada penyakit berjangkit.

NIK-NAZMi“Kami mahu anak seawal usia tiga hingga empat tahun menyedari pentingnya penjagaan kebersihan dan menanamkan konsep pencegahan itu lebih baik daripada merawat,” katanya kepada SelangorKini.

Dengan kerjasama Lifebuoy dan Hooray, seramai 110 guru dari daerah Petaling dan Klang terpilih sebagai ‘mentor’ dalam siri jelajah pertama, semalam.

Nik Nazmi berkata, mentor akan dibimbing cara berstruktur dalam menjaga serta mendidik kanak-kanak tentang proses penjagaan kebersihan tangan oleh Lifebuoy.

“Dengan 110 guru, dijangkakan sekurang-kurangnya 4,000 kanak-kanak bakal menerima manfaat ilmu berkenaan.

“Usaha ini secara tidak langsung mampu meningkatkan kapasiti serta kualiti pendidik,” katanya.

-NFN-