Categories
SELANGOR

Infrastruktur asas Bagan Sungai Lima bakal dibaiki

OLEH LIZAWATI MADFA

KLANG, 7 OKT: Kerosakan dan kemusnahan infrastruktur asas Bagan Sungai Lima ketika bencana air pasang besar akan diberi perhatian, kata Ean Yong Hian Wah.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram itu berkata, ia termasuk kerja pembaikan sebuah laluan pejalan kaki atas air yang rosak teruk akibat bencana sebelum ini.

“Kejadian air pasang besar lalu disertai ribut besar dikatakan terburuk dalam tempoh 100 tahun hingga banyak kerosakan berlaku, namun kita memberi keutamaan kepada kerja pembaikan infrastruktur asas.

“Kita akan minta agensi berkaitan melihat keadaan di sini sebelum peruntukan diberikan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di sekitar Pulau Ketam, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut meminta penduduk di kawasan pantai berjaga-jaga menghadapi fenomena terbabit yang dijangka berulang, pada pertengahan Oktober ini.

“Saya minta supaya penduduk di kawasan pantai termasuk Bagan Sungai Lima menjaga keselamatan dan membuat persiapan secukupnya bagi menghadapi fenomena berkenaan,” katanya.

Pada pertengahan September lalu, fenomena air pasang besar melanda beberapa kawasan pantai di Selangor.

Menurut Pusat Hidrografi Nasional, fenomena sama dijangka berulang pada pertengahan Oktober dengan ketinggian 5.7 meter.

-AA-