Categories
NASIONAL

Kapal Tentera Laut China berlabuh di Pelabuhan Klang

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 7 OKT: Tiga kapal Tentera Laut Republik Rakyat China (RRC) CNS Xiang Tan, CNS Zhou Shan dan CNS Chao Hu berlabuh di Jeti Boustead Cruise Centre (BCC), di sini.

ketiga-tiga kapal yang membawa seramai 749 anak kapal termasuk 233 pegawai itu bertujuan ulang bekal dan beristirehat sebelum meneruskan pelayaran pulang ke China selepas selesai melaksanakan misi di Teluk Aden, Somalia.

Pegawai Komunikasi Strategik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Komander Ismail Othman berkata, lawatan ke negara itu adalah satu inisiatif diplomasi pertahanan yang turut menyumbang kepada perhubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Selain dapat bertukar maklumat dalam isu keselamatan, peluang kerjasama baru juga dapat diterokai hasil daripada lawatan itu.

“Secara tidak langsung, kunjungan ini menyokong hala tuju Kementerian Pertahanan secara teras Diplomasi Pertahanan dan juga dapat mempromosikan Malaysia menerusi aktiviti ‘military tourism’,” katanya.

cns-xiang-tanIsmail berkata, pelbagai program dirancang sempena lawatan terbabit termasuklah kunjungan hormat Pegawai Memerintah kapal berkenaan ke atas Asisten Ketua Staf Operasi dan Eksesais Laksda Datuk Ahmad Abdullah, serta lawatan pegawai kanan kapal ke Pusat Hidrografi Nasional dan lain-lain lagi.

Ketibaan kapal berkenaan disambut oleh Pegawai Perantaraan (TLDM) Kepten Chan Peng Cheong kira-kira jam 9 pagi.

Turut hadir Duta Besar China di Malaysia, Dr Huang Huikang bagi menyambut ketibaan kapal yang dalam rangka lawatan operasi selama empat hari di negara ini.

-nR-