Categories
SELANGOR

Invest Selangor mahu tingkat kerjasama dengan Indonesia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 OKT: Invest Selangor Berhad mengalu-alukan pembabitan pelabur Indonesia di negara ini khususnya Selangor dalam meningkatkan kerjasama strategik bagi manfaat jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hassan Azhari Idris berkata, ia ekoran kerjasama pelabur dari negara terbabit dalam sektor perkilangan masih minimum walaupun mempunyai hubungan erat dengan Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya akan merancang dan mengimplementasi beberapa projek bersama badan berkait supaya kerjamasama terbabit berjalan lancar.

Agensi pelaburan negeri itu sebelum ini berkesempatan berkunjung ke Indonesia dan bertemu pengusaha kecil juga sederhana untuk mempromosikan Ekspo Antabangsa Selangor (SIE) yang akan diadakan pada 20 hingga 22 Oktober di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC).

Hassan berkata, sekitar 30 pengusaha Indonesia menyatakan minat untuk mengikuti pameran terbabit yang memfokuskan kepada tiga sektor iaitu produk halal, ‘life science’ seperti produk farmasi, nutrisi dan bioteknologi juga ‘e-commerce’.

Hasan-Azhari-Invest-Selangor“Tahun lalu, ketika pameran ini pertama kali diadakan, tumpuan kami lebih umum. Tahun ini hanya (fokus kepada) tiga sektor,” katanya ketika mengunjungi negara terbabit, baru-baru ini.

Tahun lalu, sebanyak 40 pengusaha Indonesia mengikuti pameran itu dan menawarkan pelbagai produk seperti makanan, pakaian dan kosmetik.

Bagaimanapun, Hassan berkata, pihaknya tidak menetapkan sasaran peserta kerana pameran itu baru memasuki tahun kedua.

Katanya, dalam tempoh 1987 hingga 2015, sebanyak 36 projek perkilangan membabitkan pelabur Indonesia dengan nilai RM408 juta dengan 4,259 potensi peluang pekerjaan diwujudkan.

“Kami menghargai keyakinan pelabur Indonesia ke Selangor dan sudah tentu terus mengharapkan ada peningkatan lagi,” katanya.

-AA-