Categories
NASIONAL

Izzah: Bantu rakyat miliki rumah, henti suap kroni

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 OKT: Pengumuman belanjawan hari ini merupakan peluang terbaik Datuk Seri Najib Razak memperkenal sistem intensif membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah kediaman.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, Najib perlu memastikan kredibiliti sistem kewangan berpaksikan Bank Negara Malaysia (BNM) dan bukan mengutamakan kebajikan kroni seperti pemaju pilihan.

Katanya, Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 juga wajib dihapuskan kerana tidak mengendahkan garis panduan dan akta BNM.

Nurul-Izzah“Sesuatu skim diwujudkan bukan sekadar harus memudahkan, bahkan perlu menjaga kebajikan rakyat.

“Namun, yang berlaku setakat ini di bawah kabinet Najib hanya sekadar menambah beban kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar di Dewan Rakyat berkata Najib akan mengumumkan skim Sewa Beli untuk perumahan PPR yang julung kali diperkenalkan dalam Belanjawan 2017.

Izzah berkata, skim berkenaan sebenarnya sudah dilaksanakan PPR Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Perumahan Awam (PA) di Kuala Lumpur sejak 2009.

Katanya, sebanyak 45,358 unit rumah dibawah skim itu terjual pada 2013, namun 21,850 unit daripadanya tidak mampu dibeli penyewa.

“Kadar faedah yang dikenakan ke atas pinjaman sebanyak 6.5 peratus, di mana satu peratus adalah untuk kos perkhidmatan dan 5.5 peratus kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Pada kadar 6.5 peratus selama 25 tahun, harga rumah asal boleh mencecah dua kali ganda iaitu daripada RM35,000 kepada RM70,800.

“Sekiranya kadar dua peratus digunakan, sepertimana diberi kepada projek National Feedlot Corporation (NFC), peminjam akhirnya hanya perlu membayar sebanyak RM44,400,” katanya.

-nR-