Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PEKAWANIS rai srikandi Women’s Boat To Gaza

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 OKT: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) meraikan srikandi Women’s Boat To Gaza (WBG), Dr Fauziah Hassan hari ini.

Pengerusi PEKAWANIS, Datin Seri Shamsida Taharin berkata, semangat dan tekad doktor berusia 59 tahun itu wajar dijadikan contoh kepada wanita lain.

“Beliau membuktikan kepada kita semua bahawa wanita juga mampu menyumbang perkara hebat kepada dunia.

“Kepahlawanan beliau diharap menyuntik semangat sama kepada kita untuk terus berjuang bukan sahaja untuk diri dan keluarga tetapi juga masyarakat amnya,” katanya kepada Selangor Kini.

Bertempat di Kediaman Rasmi Menteri Besar, selain Fauziah, turut diraikan ialah seorang lagi wakil Malaysia menyertai WBG, Norsham Abu Bakar.

Hadir sama, Yang Di Pertua PEKAWANIS, YAM Tengku Puteri Arafiah, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Exco Negeri, Dr Daroyah Alwi.

Pada 14 September lalu, Fauziah bersama 12 aktivis dan anak kapal wanita memulakan perjalanan dengan kapal Zaytouna-Oliva menuju ke Gaza dari pelabuhan Vell di Barcelona.

womens-boat-to-gaza-wbgSebelum itu, kapal dinaiki Norsham yang sudah berlepas bagaimanapun mengalami kerosakan dan terpaksa berpatah balik, seterusnya tidak dapat meneruskan misi kemanusiaan ke Palestin.

Selepas 21 hari bertolak, Zaytouna-Oliva dipintas tentera laut rejim pada kedudukan 42 batu nautika dari pantai Gaza jam 9.58 malam, 6 Oktober lalu, sebelum dibebaskan.

Pada 7 Oktober lalu, Fauziah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

-nR-