Categories
NASIONAL

JAS Pahang digesa kemuka data pemeriksaan Sungai Semantan

SHAH ALAM, 12 OKT: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang digesa mengemukakan bukti melalui data pemeriksaan ke atas Sungai Semantan sekiranya betul sungai berkenaan tidak berlaku pencemaran.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata, bukti perlu diberikan kepada rakyat kerana JAS Pahang bertanggungjawab dalam mengenal pasti pencemaran sungai yang berlaku di negeri itu.

“JAS perlu bertindak tegas, telus dan terbuka. Sekiranya betul ada pencemaran, mereka harus berlaku adil kepada orang ramai.

“Kalau ada pencemaran tetapi tidak cakap apa-apa, itu satu bentuk sabotaj. Bukan nak tuduh sabotaj, tetapi Pahang bekalkan air kepada Selangor. Dan jika air kotor, rakyat Selangor marah kepada kerajaan negeri yang kini sedang dipimpin Pakatan Rakyat (PR),” katanya memetik laporan FMT.

Fuziah berkata demikian mengulas gesaan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Elizabeth Wong yang meminta JAS menyemak semula keputusan siasatannya sebelum ini yang Sungai Semantan di Pahang bebas pencemaran memandangkan ujian awal Kerajaan Selangor mendapati keadaan sebaliknya.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata JAS Pahang perlu mengambil iktibar daripada kejadian bauksit yang mengakibatkan pencemaran sungai di sekitar Kuantan.

Katanya, berdasarkan pencemaran bauksit, beliau mempunyai bukti JAS Pahang penakut dan hanya mengikut telunjuk kerajaan negeri tersebut yang dipimpin Barisan Nasional (BN).

“Pada pengalaman saya, JAS Pahang tidak ada tulang belakang dan sentiasa tidak telus. Saya nak katakan begini kerana dalam isu bauksit, JAS dalam kajian mereka memang mendapati ada pencemaran di beberapa sungai di Kuantan tetapi JAS tidak berani bercakap apa-apa. Dan bila menteri besar kata tidak ada pencemaran, JAS tidak berani nak cakap apa-apa.

“Mereka (JAS) harus telus dan bertanggungjawab. Sebab kalau tidak dikenal pasti, macam mana nak selesaikan punca pencemaran itu? Selagi tidak selesaikan, rakyat Selangor akan jadi mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Fuziah berkata JAS perlu mengemukakan bukti melalui keputusan data dan ‘point’ sampel itu diambil.

“Jika sudah kesan masalah pencemaran itu, JAS Pahang perlu sita pihak yang buat pencemaran itu seperti yang dilakukan Selangor,” katanya.

Terdahulu, Elizabeth berkata, wakil Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pasukan pemantau sungai Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengenal pasti punca pencemaran baharu di Bentong, Pahang.

“Malangnya, pasukan itu tidak dapat memasuki premis berkenaan kerana pegawai JAS Pahang tidak hadir semasa pemeriksaan pagi ini,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata jika pencemaran baharu berterusan, Projek Pemindahan Air Pahang-Selangor tidak dapat dilaksanakan akibat keadaan air dari Sungai Semantan.

EZY