Categories
PENDIDIKAN

Kelab Keusahawanan UNISEL timba pengalaman di Indonesia

SHAH ALAM 22 OKT: Selaras hasrat Kerajaan Negeri melahirkan usahawan berketerampilan di negara ini, Kelab Usahawanan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Selangor (UNISEL) mengadakan program Lawatan Sambil Belajar ke Indonesia.

Ia untuk memberikan pendedahan secara langsung mengenai konsep keusahawanan kepada pelajar.

Majlis Simbolik Pelepasan Peserta berlangsung di Bilik Mesyuarat Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Kampus Shah Alam pada 21 Oktober lalu.

Majlis dihadiri Timbalan Naib Canselor UNISEL, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin, Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan ,Prof. Madya Tengku Shahrom Tengku Shahdan, serta pelajar yang bakal terbang ke Padang, Indonesia.

Menurut Prof. Madya Tengku Shahrom, beliau berharap agar para pelajar dapat membuka minda dengan suasana dan pengalaman yang baru.

Program ini juga dijadikan landasan kepada pelajar membina keyakinan diri dengan mengembara ke tempat baru.

Prinsip “jauh perjalanan, luas pemandangan” harus ada dalam diri pelajar supaya ia dapat dijadikan inspirasi dalam kehidupan seharian.

Seramai 16 pelajar berlepas ke Padang, Indonesia pada 24 Oktober dan akan melawat Universiti Andalas, Padang, Indonesia.

Kesemua mereka diiring oleh Pensyarah di Fakulti Perniagaan & Perakaunan, Dr. Norish Aminudin.

“Diharap dengan adanya program seperti ini dapat memberi pengetahuan baru kepada pelajar dan kemudiannya berkongsi bersama-sama rakan-rakan yang lain,” katanya.

EZY