Categories
NASIONAL

Lebih 6,000 pekerja GLC & MKD hilang kerja tahun ini

KUALA LUMPUR 26 OKT: Kementerian Kewangan menyatakan lebih 6,000 pekerja di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat milik kerajaan di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan (MKD) kehilangan pekerjaan tahun ini.
Daripada jumlah itu 5,134 adalah pekerja yang berkhidmat di bawah GLC.

Seramai 4,682 diberhentikan atau tidak disambung kontrak oleh Malaysia Airlines Systems Bhd (MAS).

Manakala selebihnya dari Malaysia Airlines Berhad (dua orang), Kumpulan Affin (146); Boustead Holdings Bhd (151) dan Chemical Company of Malaysia Bhd (153 people).

Sementara itu dua syarikat di bawah MKD turut mengambil langkah sama, membabitkan seramai 1,000 kakitangan yang bertugas di bawah Petroliam Nasional Bhd (Petronas) manakala 36 lagi dari Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank).

“Pemberhentian pekerja ini disebabkan beberapa faktor termasuk penamatan operasi syarikat, penggabungan entiti dan proses penyesuaian persekitaran perniagaan pada sesuatu masa.

“Namun demikian syarikat memastikan setiap pekerja yang terlibat ditawarkan pampasan kewangan yang adil dan berdasarkan hak masing-masing mengikut perjanjian kolektif sedia ada,” kata kementerian kewangan di parlimen semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang bertanya mengenai statistik kehilangan pekerjaan ekoran langkah pengurangan pekerja GLC dan MKD pada tahun ini.