Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Permohonan ubah status sulit audit 1MDB pada 18 November

SHAH ALAM, 26 OKT: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 18 November ini bagi pendengaran semakan kehakiman berkenaan status sulit Laporan Ketua Audit Negara ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang difailkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Memetik MalaysiaKini, Hakim Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, pihaknya baru menerima dokumen terbabit dan akan membuat penelitian lanjut.

“Saya hanya terima dokumen pada petang Isnin lalu, jadi perlukan masa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Perkara itu ditetapkan di hadapan Hakim Datuk Hanipah Farikullah.

Sementara itu, Shamsul berkata, pengurusan kes ditetapkan pada 3 November depan.

Pada 15 Ogos lalu, Mohamed Azmin memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan ketua audit negara yang mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara ke atas 1MDB sebagai rahsia rasmi.

Azmin yang juga Timbalan Presiden KEADILAN memfailkan saman itu menerusi Tetuan Tommy Thomas di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau selaku pemohon menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Ketua Audit Negara, Tan Sri Amrin Buang dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

CP2A5778-1024x683Dalam permohonannya, beliau menuntut suatu deklarasi bahawa tindakan responden pertama iaitu perdana menteri untuk mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah suatu tindakan dalam konflik kepentingan.

Beliau juga menuntut suatu deklarasi bahawa klasifikasi laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi oleh responden kedua (Amrin) adalah menyalahi undang-undang dan ultra vires Perlembagaan Persekutuan, OSA dan/atau Akta Audit 1957.

Selain itu, Mohamed Azmin juga menuntut suatu perintah mandamus bagi memaksa semua responden, pekerja, pegawai, ejen atau dengan apa jua cara dengan serta-merta untuk mengklasifikasikan semula laporan 1MDB menurut Seksyen 2C OSA 1972 dan menyiarkannya kepada orang ramai.

Beliau mengemukakan tuntutan berkenaan dengan alasan bahawa keputusan untuk mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah tidak berpelembagaan kerana dibuat dalam pelanggaran Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, katanya, keengganan responden untuk mengklasifikasikan semula laporan berkenaan adalah tidak munasabah.

-AA-