Categories
SELANGOR

Loji Rawatan Air Langat pulih, kembali beroperasi

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 8 OKT: Loji Rawatan Air Langat ditutup malam tadi selepas mengalami masalah pencemaran bau, kembali beroperasi seperti biasa pagi ini ekoran masalah itu berjaya diatasi.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata kerja pemulihan berjalan lancar apabila masalah berlaku ditangani dengan jayanya.

“Loji Rawatan Air Langat telah pulih dan dibuka semula pada kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

“Manakala Loji Rawatan Air Cheras dijangka kembali seperti sedia kala beberapa jam selepas ini,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seperti mana di Langat, kerja pemulihan di Loji Rawatan Air Cheras dijangka tidak menghadapi kesulitan dan kembali beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat.

“Seharusnya tiada masalah dalam perkara ini,” katanya menambah kenyataan rasmi dikeluarkan selepas ini.

Loji Rawatan Air Langat dan Cheras masing-masing ditutup pada jam 8.30 dan 10 malam tadi akibat pencemaran bau yang disyaki berpunca daripada Sungai Semantan di Pahang.

Berikutan itu, beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan sebahagian daerah Petaling serta Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air.

EZY