Categories
SUKANKINI

Malaysia raih tempat ketiga Kejohanan Hoki Trofi Juara-juara Asia

KUANTAN 31 OKT: Skuad hoki Malaysia bermain dengan baik dan mempamerkan banyak penambahbaikan selepas menduduki tempat ketiga dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-juara Asia 2016.

Bagaimanapun, Ketua Jurulatih Negara, Stephen Van Huizen berkata banyak perkara perlu dilakukan untuk mengukuhkan pasukan itu di masa hadapan.

“Adalah menyedihkan kami tewas kepada Pakistan semalam tetapi saya gembira kami bangkit kembali dengan mengalahkan Korea Selatan untuk menduduki tempat ketiga dalam kejohanan ini.

“Kami akan menumpukan pada kelemahan kami dan cuba menguatkan lagi para pemain sebagai persiapan menghadapi cabaran akan datang,” katanya lapor BERNAMA.

India muncul juara Kejohanan Hoki Trofi Juara-juara Asia 2016 selepas tewaskan Pakistan 3-2.

Van Huizen berkata salah satu pendekatan beliau ialah untuk melihat rakaman video melibatkan pasukan negara dalam kejohanan ini bagi mengenal pasti dan menganalisis apa yang kurang pada pasukannya.

“Satu perkara yang membimbangkan ialah kemahiran pemain melakukan pukulan sudut penalti yang kami perlu berbuat sesuatu.

“Secara keseluruhan saya berfikir jika kami ingin memenangi pertandingan yang sengit seperti ini, pemain perlu cergas mental dan fizikal dan saya akan pastikannya,” kata beliau.

EZY