Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mangsa banjir lega langkah awal Kerajaan Negeri

OLEH NAZLI IBRAHIM

KAPAR, 17 OKT: Persiapan awal yang dijalankan Kerajaan Negeri bagi membantu mangsa banjir air pasang besar di sekitar Kampung Tok Muda, di sini, pada 15 Oktober lalu, melegakan golongan terbabit.

Beberapa mangsa yang sempat ditemui SelangorKini berkata, persiapan awal itu memudahkan mereka berpindah lebih awal dan mampu mengurangkan kerugian harta benda.

“Awal lagi kami dah dimaklumkan. Jadi, kami dapat bersiap sebelum berpindah dan barang sudah diletakkan di tempat tinggi supaya tidak rosak.

air-pasang-morib“Nak pindah ke pusat pemindahan ini juga tidak kelam-kabut dan segalanya sudah tersedia dengan keperluan seperti makanan dan tempat tidur yang selesa dan,” kata penduduk Kampung Tok Muda, Ahmad Azahari Soraji.

Penyelia sebuah syarikat swasta, 45, itu berkata, kedudukan rumahnya yang terletak betul-betul di kawasan berisiko tinggi untuk dinaiki air menyebabkan beliau dan ahli keluarga lain seramai tujuh orang memutuskan untuk mengikut nasihat pihak bertanggungjawab.

Abdul Kahar Saroji, 49, pula memuji kepekaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi yang mengambil berat terhadap mangsa banjir, di sana.

“Sejak kami dilanda banjir banyak kali YB (Yang Berhormat) turun bertemu kami untuk membantu memudahkan pemindahan mangsa ke sini,” kata peniaga terbabit.

air-pasangApabila ditanya nilai kerugiannya, Abdul Kahar menjangkakan apa ditanggung adalah jauh lebih rendah berbanding sebelumnya ekoran persiapan awal yang dibuat.

“Saya belum tengok lagi keadaan rumah pagi ini tetapi jangkakan tak teruk macam dahulu sebab kami dah diberitahu awal, jadi kebanyakan barang dah diletakkan di tempat tinggi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Khariah Azlina Khairuddin, 21, pula mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang memastikan keselesaan mangsa banjir.

“Alhamdulillah, kami disediakan tempat yang selesa cukup dengan kemudahan. Malam tadi juga saya dapat tidur dengan nyenyak sekali,” kata kakitangan swasata itu.

-NFN-