Categories
SELANGOR

MB: Kegagalan JAS bertindak cepat mampu lemahkan bukti

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 OKT: Kegagalan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil sampel air di sungai tercemar dengan kadar segera mampu melemahkan kredibiliti untuk dijadikan bahan bukti bagi tujuan pendakwaan di mahkamah.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia berikutan sampel diambil JAS yang hanya 10 jam selepas berlaku pencemaran menyebabkan bahan cemar dalam kandungan air sungai mula kembali dineutralkan oleh arus air daripada hulu sungai.

“Bagaimana JAS boleh melengah-lengahkan tindakan dan muncul 10 jam kemudian di lokasi.

“Apa juga sampel diambil setelah 10 jam berlaku, sudah tentulah kredibiliti bukti jadi lemah kerana (arus) air itu meneutralkan pencemaran yang berlaku dan ini tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas menerima kunjungan hormat Walikota Bandung, Mochammad Ridwan Kamil di pejabatnya di sini, hari ini.

Jelasnya, lebih malang lagi, sampel diperolehi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor tidak boleh dijadikan bukti dimahkamah ekoran di luar bidang kuasa kedua-dua agensi terbabit.

Katanya, selain bertanggungjawab memantau kebersihan air sungai, JAS juga merupakan jabatan bertanggungjawab mengawal selia tapak perindustrian supaya mereka mematuhi piawaian pelepasan bahan buangan di premis kilang masing-masing.

EZY