Categories
PENDIDIKAN

Misi penting pengantarabangsaan pelajar UNISEL

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 OKT: Sejumlah RM250,000 diperuntukkan bagi menjayakan
konsep pengantarabangsaan pelajar Universiti Selangor (UNISEL).

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata ia merupakan inisiatif penting menaikkan nama UNISEL di persada antarabangsa.

Katanya, konsep berkenaan juga memberi pendedahan luar kepada pelajar dalam bidang dipelajari.

“Diharap setiap yang terpilih untuk program ini dapat memanfaatkan sepenuhnya terutama dalam mempertingkatkan sahsiah diri, memperoleh ilmu serta pengalaman membina.

“Diharap juga kesemua ini membolehkan pelajar menyumbang semula kepada Selangor,” katanya kepada Selangor Kini.

Bermula awal 2016, UNISEL berpeluang menggunakan peruntukan berkenaan bagi melibatkan pelajar dengan sebarang program di peringkat global.

Nik Nazmi berkata, ia termasuk lawatan sambil belajar, program kemanusiaan, latihan praktikal, latihan industri atau lain-lain.

“Sudah ada beberapa trip yang berlepas sebelum ini dan terbaru trip pelajar ke Indonesia dan Thailand,” katanya.

EZY