Categories
SELANGOR

PBT diarah bertegas banteras premis judi haram

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 OKT: Kerajaan Selangor memandang serius isu premis judi haram yang didakwa semakin berleluasa di negeri itu dan menjamin bakal mengambil tindakan tegas.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, aktiviti sebegitu mengundang kemudaratan kepada masyarakat, justeru pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah mengambil langkah proaktif menanganinya.

“Kita sentiasa memandang serius isu ini, justeru semua PBT diarah mengadakan operasi khas dan tindakan tegas ke atas mereka yang terbabit dalam kegiatan haram itu,” katanya kepada SelangoKini.

Beliau berkata, PBT di Selangor juga akan memberi kerjasama kepada pihak polis dalam usaha itu selain mengadakan operasi bersama.

“Bagaimanapun, polis perlu memainkan peranan utama dalam membanteras aktiviti judi haram kerana ia adalah kegiatan jenayah.

“PBT hanya boleh mengawal dari segi perlesenan dan kita bersiap sedia untuk bekerjasama,” katanya.

Berdasarkan laporan media, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta polis dan PBT bertindak terhadap premis mesin judi dan aktiviti haramnya yang didakwa semakin bertambah terutama di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

-AA-