Categories
SELANGOR

Pelbagai program sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 1 OKT: Sebanyak 15 program dilaksanakan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2016.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Faizul Fitri Muslil berkata, penganjuran program diharap mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan institusi muzium dalam pembangunan masyarakat.

Katanya, ia juga sebagai usaha menyantuni masyarakat dan memberi peluang kepada orang ramai mengenali muzium dengan lebih dekat.

“Kita mengambil inisiatif menganjurkan sambutan secara bergilir-gilir di semua muzium di negeri ini.

“Tahun ini, kita memilih Muzium Sejarah Kuala Selangor sebagai lokasi bertuah,” katanya ketika Majlis Perasmian Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Selangor di sini, hari ini.

kpeMajlis disempurnakan Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Sambutan bermula pada 20 September lalu dengan program ‘Muzium ke Sekolah’ (School Attack) di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Sungai Buloh, Bukit Rotan.

Program lain termasuk Bengkel Permuziuman (Model Making Workshop), Pertandingan Seni Khat Jawi Kanvas, Jom Makan Nasi Ambeng, Eksplorasi Bukit Malawati dan Ceramah Perdana.

Selain itu, terdapat juga persembahan ‘Lestari Budaya dan Warisan’, Jom Teropong Angkasa, Jom Naik Rumah Api, Larian Muzium dan Bengkel Permuziuman (Taksidermi) serta Kembara Muzium.

Pengunjung juga berpeluang mengunjungi pameran dan gerai cekur Padat serta pelbagai agensi lain.

-AA-