Categories
SELANGOR

Pembangunan Pasar Rakyat jana hasil pertanian negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT : Pembangunan Pasar Rakyat bagi memasarkan pengeluaran produk dan hasil tani negeri diperkenalkan menjelang 2017 yang diyakini mampu membantu meningkatkan jaringan ekonomi petani negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, golongan petani boleh secara terus memasarkan hasil tani tanpa menggunakan khidmat orang tengah.

“Kerajaan Negeri mencadangkan pembangunan ‘Pasar Rakyat’ untuk menemukan pengeluar produk yang terdiri dari petani dan peniaga dengan pengguna tanpa khidmat orang tengah.

“Selain daripada kemudahan, prasarana dan reka bentuk moden, pasar ini juga dilengkapi dengan kemudahan perkhidmatan harian rakyat seperti kemudahan perbankan dan khidmat pos,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Dalam perkembangan itu, beliau berkata Kerajaan Negeri mencadangkan lima PBT diseluruh negeri memulakan inisiatif tersebut dengan menggunakan peruntukan sedia ada.

PBT terbabit termasuklah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

“Pembangunan Pasar Rakyat mesti dimulakan seawal 2017 dengan menggunakan peruntukan pembangunan PBT masing-masing,” katanya.

EZY