Categories
SELANGOR

Pengecualian cukai taksiran & fi lesen niaga diteruskan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 OKT: Pengecualian cukai taksiran dan fi lesen perniagaan diteruskan bagi 2017, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau menggesa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan awal bagi memastikan pengecualian ini dilaksanakan serta merta mulai 1 Januari 2017.

“Rakyat masih dihisap darah mereka melalui pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan Bajet 2017 Putrajaya yang mengikat perut.

“Maka pada 2017, Kerajaan Negeri terpanggil untuk meneruskan program pengecualian cukai dan fi lesen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Pada 2016, Kerajaan Negeri menerima impak kewangan berjumlah RM62 juta selepas pelaksanaan program berkenaan.

“Salah satu inisiatif peduli Kerajaan Negeri untuk menyantuni pemilik rumah kos rendah serta penduduk kampung tradisi, kampung baru dan kampung bagan pada 2016 adalah dengan mengecualikan cukai taksiran.

“Peniaga kecil juga senantiasa mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri dengan menikmati pengecualian fi lesen perniagaan,” katanya.

EZY