Categories
SELANGOR

Pertukaran produk kukuhkan program Sister City PJ – Bandung

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 7 OKT: Jalinan kerjasama Bandaraya Petaling Jaya dan Bandung, Indonesia melalui program Sister City bertambah kukuh dengan pembukaan kiosk Little Bandung di Paradigm Mall, Kelana Jaya baru-baru ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Mohd Azizi Mohd Zain berkata, kiosk Little Bandung itu akan memperkenalkan pelbagai produk dan cenderamata dengan ciri keistimewaan bandar ketiga terbesar di Indonesia itu.

“Produk Petaling Jaya juga akan di bawa ke Kota Bandung untuk diperkenalkan kepada warganya.

“Pemilihan lokasi di pusat membeli belah ini diharapkan lebih ramai pengunjung khususnya penduduk Petaling Jaya dapat mengetahui jalinan kerjasama antara dua bandaraya ini,” katanya pada Majlis Perasmian Little Bandung di Paradigm Mall di sini, pada Rabu lalu.

dsc_2127Majlis turut dihadiri Walikota Bandung, Bapak Mochamad Ridwan Kamil; Duta Besar Republik Indonesi di Malaysia, Bapak Herman Prayitno; Menteri Koperasi dan Perusahaan Kecil Indonesia, Anak Agung Gede Ngurah Puspayoga dan Asisten Deputi Pengembangan Pasar Kementrian Pariwisata, Republik Indonesia, Ibu Nia Niscaya.

Little Bandung adalah sebahagian hasil kerjasama PJ-Bandung menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 27 November 2015.

MoU itu yang ditandatangani Mohd Azizi dan Mochamad Ridwan itu antaranya menggariskan kerjasama dalam pembangunan ekonomi, perdagangan dan pendidikan yang memberi faedah kepada masyarakat di kedua-dua bandaraya itu.

dsc_1875Mengulas lanjut, Mohd Azizi turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada delegasi Kota Bandung yang menyertai PJ Fair sejak 2014 selaras dengan penglibatkan bidang pelancongan dan kebudayaan yang dipersetujui dalam MoU.

Katanya lagi, kedatangan delegasi dari Bandung itu turut memberi peluang kepada MBPJ menambah pengetahuan, berkongsi amalan terbaik serta mempelajari lebih mendalam dalam pelbagai bidang yang dinyatakan dalam MoU.

-nR-