Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Petisyen atas talian bebas Anwar dilancar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 12 OKT : Petisyen ke arah pembebasan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar giat dilancarkan sebagai dukungan dan tuntutan pembebasan bekas Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, pertisyen yang mula dilancarkan pagi ini bakal dikemukakan kepada Yang Dipertuan Agong sebagai sokongan kepada lanjutan proses pengampunan Institusi Diraja.

“Saya minta seramai mungkin masyarakat awam menandatangani petisyen ini bermula hari ini sebagai dukungan kepada pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

IZZAH-ANWAR“Petisyen inilah yang akan menjadi sokongan kepada kita supaya Yang Dipertuan Agong memberi pengampunan atas dasar pengenepian sistem keadilan terhadap Anwar,” katanya ketika berucap pada Himpunan Solidariti Bebas Anwar di Istana Kehakiman, di sini.

Petisyen berkenaan boleh ditandatangani di laman atas talian, freeanwar.com untuk dikemukakan kepada Yang Dipertuan Agong, pada satu tarikh yang bakal ditetapkan.

Anwar kini masih lagi mengikuti proses semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan bersabit pendakwaan kes liwat 2 terhadapnya.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mula bersidang mendengar permohonan tersebut yang diketuai, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Hasan La serta dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Anwar diwakili peguam, Datuk Sri Gopal Sri Ram, N Surendran, R Sivarasa, Sangeet Kaur Deo, J Leela, Latheefa Koya dan Kimberley Motley.

Himpunan AnwarPasukan pendakwaan dibarisi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Awang Armadajaya Awang Mahmud, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Zhafran Rahim Hamzah.

Mahkamah mendengar permohonan Anwar menyemak keputusannya sebelum ini berhubung sabitan dan hukuman itu mengikut Aturan 137, Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Ia disifatkan sebagai rayuan terakhir Anwar supaya dibebaskan daripada tuduhan terbabit selepas Lembaga Pengampunan yang bermesyuarat pada 16 Mac tahun lalu, menolak petisyen pengampunan Anwar dan menyatakan hukuman penjara lima tahun terhadapnya perlu diteruskan.

Anwar kini ditempatkan di Penjara Sungai Buloh bagi menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah atas kes Fitnah II membabitkan bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

-NFN-