Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Wujud keraguan melampau pendakwaan Anwar – Nurul Izzah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 12 OKT: Pendakwaan dan sabitan kes fitnah liwat 2 yang dikenakan terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan tidak masuk akal dan wujudnya keraguan melampau.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata demikian merujuk prosiding Mahkamah Persekutuan terdahulu yang memutuskan Anwar bersalah dalam kes itu.

“Ia jelas bermotifkan politik apabila hakim menggunakan keputusan sabitan terdahulu untuk menghakimi Anwar, sedangkan keputusan tersebut langsung tiada kaitannya.

“Jelas proses keadilan itu telah dicemari yang akhirnya menyebabkan beliau dipenjarakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Solidariti Bebas Anwar di Perkarangan Istana Kehakiman, di sini.

Himpunan AnwarDalam perkembangan itu, Nurul Izzah turut berkongsi perkembangan terkini lanjutan proses semakan kehakiman kes fitnah liwat 2 membabitkan Anwar.

Beliau berkata, pasukan peguam Anwar kini sedang mengemukakan bukti terkini yang mengaitkan bahawa Anwar tidak bersalah berhubung sabitan kes itu terhadapnya.

“Ini termasuklah isu pencemaran DNA dan kenyataaan rasmi yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri sebelum keputusan sabitan dibuat di Mahkamah,” katanya.

Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar permohonan Anwar untuk menyemak keputusannya sebelum ini berhubung sabitan dan hukuman itu mengikut Aturan 137, Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Ia disifatkan sebagai rayuan terakhir Anwar supaya dibebaskan daripada tuduhan terbabit selepas Lembaga Pengampunan yang bermesyuarat pada 16 Mac tahun lalu, menolak petisyen pengampunan Anwar dan menyatakan hukuman penjara lima tahun terhadapnya perlu diteruskan.

EZY