Categories
SELANGOR

Program pengasingan sampah terap amalan kitar semula

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 10 OKT: Program Pengasingan Sampah dan Edaran Tong Sampah Fasa 2 inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kembali lagi bagi memupuk amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat.

Ketua Komunikasi Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, program itu bertujuan mendidik masyarakat dengan menerapkan kepentingan menjaga alam sekitar di dalam diri juga keluarga.

Katanya, ia juga dijadikan landasan untuk meningkatkan kadar peratus kitar semula bagi mencapai matlamat Shah Alam ke arah bandar raya sifar sampah (zero waste).

“Dalam program sebelum ini, sejumlah 1,849 premis kediaman jenis teres terlibat menjayakannya dengan setiap daripada mereka diberikan satu unit tong sampah MGB 80 liter,” katanya dalam kenyataan.

Program terbabit dirasmikan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad di Kelab Rekreasi, Berkuda Denai Alam (DARC), Seksyen U16, di sini, pada 8 Oktober lalu.

SHAHRINShahrin berkata, pelaksanaan Fasa ke 2 itu bermula pada 1 Oktober lalu membabitkan enam lokasi iaitu Seksyen 8, 19, 24, 31, U5 dan U20.

Setiap lokasi terpilih akan diberikan plastik pengasingan sisa iaitu kertas, aluminium, tin dan plastik.

“Kutipan sisa yang boleh dikitar semula akan dikutip seminggu sekali, pada setiap Sabtu.

“MBSA juga akan memberikan beg kitar semula kepada penduduk untuk membantu mengenal pasti bahan yang perlu dibuang,” katanya.

-AA-