Categories
SELANGOR

Punca pencemaran Sungai Semenyih dikenal pasti

SHAH ALAM 4 OKT: Air Selangor bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sudah mengenal pasti punca pencemaran bau Sungai Semenyih di Jalan Sungai Lalang, berhampiran Taman Sri Haneco, Semenyih.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata MPKj menutup tapak premis itu sementara menunggu ketibaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengambil bukti bahan cemar.

“Sejak premis ini dikenal pasti sebagai punca pencemaran awal pagi ini, pekerja tidak kelihatan di premis ini,” kata Elizabeth dalam kenyataan media.

Katanya, MPKj dan JAS menutup tapak premis tersebut untuk memberhentikan apa-apa aktiviti di sana dan untuk siasatan lanjut.

img-20161004-wa0004Kes ini dirujuk kepada JAS untuk tindakan selanjutnya termasuk tindakan undang-undang.

“Di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, jika tersabit kesalahan di mahkamah undang-undang, denda maksimum RM100,000 dan/atau lima tahun penjara dikenakan,” katanya.

Beliau berkata perniagaan atau premis disahkan mengakibatkan pencemaran, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan membatalkan semua lesen dan menghentikan semua operasi perniagaan.

“Tiada rayuan dipertimbangkan kerana kejadian tidak bertanggungjawab itu mengakibatkan kesusahan kepada lebih 1.8 juta pengguna,” katanya.

Tindakan pantas petugas LUAS dan Air Selangor yang memantau kawasan itu 24 jam selama 10 hari berjaya mengenal pasti punca pencemaran.

Walau bagaimanapun, Loji Rawatan Air Semenyih terpaksa ditutup buat kali keempat pada jam 10 pagi tadi kerana pencemaran bau dan beroperasi semula apabila tiada pencemaran bau.

Kawasan mengalami gangguan bekalan air meliputi Daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.

Pegguna boleh mendapatkan status terkini mengenai bekalan air melalui aplikasi telefon bimbit “mySYABAS” dan www.syabas.com.my
EZY