Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Red Giants: Misi 34 juarai Piala Malaysia

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA TERENGGANU, 16 OKT: Kejayan Selangor mengalahkan T-Team untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia melengkapkan usaha pasukan bagi menjuarainya buat kali 34.

Pengurus pasukan, Amirudin Shari, berkata ternyata segala usaha dirancang membuahkan hasil dan kini hanya selangkah bagi merealisasikannya.

“Terharu dengan kekentalan pemain dalam menghadapi cabaran pasukan lawan di gelanggang lawan.

“Saya ucap terima kasih khususnya kepada semua pemain di mana ia adalah musim sangat mencabar bagi Selangor dan kita layak sekali lagi ke akhir dalam memburu misi ke 34,” katanya kepada SelangorKini selepas perlawanan malam tadi.

Dalam perlawanan itu, Selangor mengatasi T-Team dengan agregat 5 – 1 apabila mengalahkannya 3 – 0 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini.

Gol The Red Giants dihasilkan R Gopinathan pada minit kedua, Ugo Ukah (m18) dan Andik Vermanshah (m90).

Walaupun mendapat gol awal tetapi Amirudin tidak menganggap Selangor selesa dan pemain bertindak bijak mengekang kebangkitan lawan.

“Tidak mudah dan pasukan terpaksa menyerap asakan mereka yang bertali arus tetapi kita sangat berdisiplin dalam menghalang percubaan merbahaya lawan.

“Kita juga menggunakan peluang dengan baik serta menjaringkan gol dan ia berbeza dengan aksi pusingan pertama lalu,” katanya.

Seperti mana aksi separuh akhir, beliau hanya ingin pasukan fokus pada perlawanan akhir dan selainnya akan diuruskan pengurusan pasukan.

“Saya hanya ingatkan pasukan harus fokus pada perlawanan dan pengurusan akan pastikan isu pasukan diatasi.

“Semua pihak menyokong pasukan iaitu Kerajaan Negeri, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), kelab penyokong dan sebagainya,” katanya yang menjangkakan cabaran getir dalam ulangan akhir berdepan Kedah nanti.

EZY