Categories
SELANGOR

RM209 juta peruntukan kesihatan luar bandar, bantu ringan kos dialisis

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT: RM209 juta diperuntukkan bagi tujuan pembangunan sektor kesihatan dan pembangunan luar bandar menerusi pembentangan Belanjawan Negeri 2017.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan tersebut meliputi pelaksanaan program skim penjagaan kesihatan yang memberi tumpuan terhadap pembangunan kesihatan luar bandar.

“Jumlah ini meliputi 11.6 peratus diperuntukkan bagi pelaksanaan program skim penjagaan kesihatan asas (primary health care) dan program menangani wabak denggi dan zika.

“Selain itu, peruntukan ini meliputi pembangunan ekonomi luar bandar serta membangun prasarana asas bagi tujuan kemudahan di desa serta menaiktaraf jalan kampung,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS), pagi ini.

Sebelumnya, Mohamed Azmin membentangkan Strategi Belanjawan 2017 dengan menterjemahkan gagasan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri meliputi beberapa strategi teras kemajuan negeri.

Beliau berkata, fokusnya turut tertumpu kepada program pembangunan kesihatan dan kesejahteraan rakyat demi mengekalkan keharmonian masyarakat di Selangor.

Menyedari berlakunya peningkatan kos rawatan dialisis dilihat memberi bebanan kepada masyarakat, Mohamed Azmin berkata Kerajaan Negeri juga turut mewujudkan inisiatif mampan yang dilihat mampu memberi manfaat jangka panjang kepada pesakit.

Justeru katanya, Program Dialisis Rakyat diperkenalkan sebagai inisiatif membantu pesakit yang terpaksa membayar lebihan pembayaran susulan peningkatan kos dialisis di negara ini.

“Kerajaan Negeri bercadang untuk meningkatkan peruntukan bagi program rawatan dialisis daripada RM 1.7 juta setahun kepada RM 5 juta bagi 2017,” katanya.

EZY