Categories
SELANGOR

Selangor terima RM3.8 bilion pelaburan setakat Ogos

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 20 OKT: Selangor menerima sejumlah RM3.8 bilion pelaburan modal setakat Ogos lalu, kata Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berkata, perkembangan itu sekali gus meletakkan Selangor di tempat kedua di belakang Johor dan satu tangga di atas Pulau Pinang.

“Ini adalah berita baik buat Selangor dalam keadaan ekonomi yang kurang memberansangkan ketika ini.

“Melihat kepada perkembangan terbaru ini, kita optimis sasaran RM6 bilion menjelang hujung tahun ini masih mampu dicapai,” katanya dalam sidang media.

img_20161020_165351_812Terdahulu, beliau mengiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin merasmikan Selangor International Expo 2016 di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC) di sini, hari ini.

Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri juga terus progresif menarik pelabur luar menerusi siri lawatan ke 29 bandar utama dunia dalam tempoh empat bulan lalu.

“Antaranya bandar utama di Australia, Vietnam, Korea Selatan, Thailand, Singapura, Amerika Syarikat, Timur Tengah dan Jepun.

“Negara lain termasuk India, China, Indonesia dan terbaru United Kingdom,” katanya.

-nR-