Categories
NASIONAL

Azmin: KEADILAN dah keluarkan kenyataan pendirian RUU 355, harap dirujuk

OLEH NAZLI IBRAHIM

20 OKT: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyarankan semua pihak khususnya media merujuk kenyataan rasmi Presiden KEADILAN berhubung pendirian parti itu dalam isu Pindaan Rang Undang-undang (RUU) 355.

“Pendirian telah dikeluarkan oleh Presiden hari ini, saya harap dapat rujuk kenyataan itu dan itu adalah pendirian parti tentang RUU 355 dan telah dizahirkan pada petang ini,” kata Mohamed Azmin.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata demikian kepada media di lobi Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen sejurus selepas Persidangan Dewan Rakyat di sambung esok di sini, hari ini.

Jelasnya semua pihak perlu memahami isi kandungan kenyataan itu walaupun agak panjang kerana disertakan bahan rujukan yang membantu KEADILAN membuat keputusan.

Mohamed Azmin kemudiannya dilihat sempat bertegur sapa dan berbual ringkas dengan Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Keadaan itu menarik perhatian wakil media yang masih mahu mencuba mendapatkan reaksinya berhubung pendirian KEADILAN dalam isu RUU.

-nR-