Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SIE 2016 sasar pulangan RM100 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 20 OKT: Sejumlah RM100 juta pulangan disasarkan Kerajaan Negeri menerusi penganjuran Selangor International Expo 2016.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) serta Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, ia berdasarkan kepada penambahan 40 peratus gerai pameran tempatan dan antarabangsa berbanding 2015.

Katanya, penambahan itu diyakini mampu memberi pulangan lebih tinggi berbanding RM50 juta diperolehi tahun lalu.

img_20161020_164749_407“Bilangan pempamer meningkat, secara logiknya jumlah pulangan juga pastinya meningkat.

“Dengan keadaan ekonomi tidak menentu, pertambahan itu dikira amat baik dan diharap sasaran sekali ganda daripada tahun lalu juga mampu dicapai,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada 2015, SIE disertai sebanyak 410 gerai pameran termasuk 167 gerai dari luar negara.

Chang Khim berkata, tahun ini SIE menerima penyertaan 565 gerai pameran termasuk 130 gerai dari luar negara.

“Antara yang mengambil bahagian adalah China, Indonesia, Thailand, Jepun, Turki, Britain, Taiwan, Jerman, Palestin dan Libya.

img_20161020_164921_142“Kita juga ada penyertaan dari Negara Kesatuan Arab (UAE), Belanda, Hong Kong, Perancis, Iran dan Pakistan,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Selangor International Expo 2016 di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman.

-nR-