Categories
SELANGOR

Sultan cemar duli hadir Istiadat Konvokesyen UPM ke-40

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SERDANG, 22 OKT: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli hadir ke Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) kali ke-40 di sini, pagi ini.

Baginda Sultan yang juga Canselor UPM turut berkenan mengurniakan beberapa Anugerah dan Pingat Tertinggi kepada graduan menerusi pelbagai peringkat pengajian tertinggi di universiti berkenaan.

Antara penganugerahan disampaikan baginda Sultan ialah hadiah Pingat Emas Canselor, Hadiah Pingat Emas Diraja (Bumiputera), Hadiah Pingat Emas Pelajaran Diraja (Bukan Bumiputera), dan Pingat Emas Alumni.

Pingat lain yang turut disampaikan baginda termasuklah Pingat Emas Yayasan Pak Rashid, Pingat Emas Profesor Emeritus Tan Sri Dr Rashdan Baba, Pingat Putra Agribio, Pingat Razlan Putra, Pingat Emas Doktor Falsafah, Pingat Emas Master Dengan Thesis dan Hadiah Buku Tahunan.

Terdahulu, baginda Sultan tiba di perkarangan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah jam 8.45 pagi turut berkenan melakukan pemeriksaan Perbarisan Kawat Pegawai Kadet PALAPES, UPM.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Pro Canselor UPM, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Setia Dr Lim Ah Lek.

Seramai 7,200 graduan pelbagai program pengajian menerima Ijazah dan Diploma masing-masing terdiri daripada penerima Ijazah Doktor Falsafah (PHD), Ijazah Sarjana (Master dan Bachelor) serta pengajian peringkat Diploma.

Dalam perkembangan itu, UPM turut menganugerahkan Anugerah Profesor Emeritus kepada Tan Sri Dato’ Setia Dr Nayan Ariffin dan Prof Dato’ Dr Wan Md Wan Yunus dan Dato’ Dr Kamel Ariffin Mohd Atan.

Sebelum ini UPM terus kukuh mempertingkatkan kualiti dan bidang pendidikannya menerusi pemerkasaan pusat kecermerlangannya untuk terus melahirkan graduan berdaya saing di peringkat serantau.

Ini termasuklah penjanaan nilai menerusi pelan RDCE yang mantap dan lestari, menjadikan institusi pendidikan ini sebagai antara institut pengajian tinggi terbaik di negara ini.

EZY