Categories
SELANGOR

Tingkat sebar luas ilmu, angkat martabat bangsa – DYMM Sultan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SERDANG, 22 OKT: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar usaha penyebaran ilmu diperluaskan ke arah mengangkat martabat bangsa di negeri ini.

Titah baginda, usaha tersebut perlu digerakkan menerusi kerjasama warga pendidik khususnya di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) demi manfaat jangka panjang.

“Beta menggesa agar semua warga universiti untuk terus memberikan yang terbaik untuk masyarakat dan negara.

“Usaha menyebarkan ilmu pengetahuan dan mengangkat martabat bangsa dan negara harus diteruskan secara terancang menerusi aktiviti bersama industri dan komuniti bagi manfaat bersama.

_mg_0620-1024x683“Kerjasama universiti dan industri berupaya meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pengkomersilan ke tahap lebih dinamik,” titah baginda Sultan.

Baginda bertitah sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-40 di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Keseniaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Pro Canselor UPM, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Setia Dr Lim Ah Lek.

Dalam perkembangan itu, baginda Sultan turut bertitah agar graduan dan warga pendidik terus optimis meningkatkan keupayaan diri demi mencapai kejayaan cemerlang di masa depan.

“Tiada yang membezakan antara graduan dengan masyarakat di luar melainkan ilmu pengetahuan, kerana latar belakang dan taraf sosial bukan menjadi penghalang kepada kejayaan.

“Bahkan dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki, graduan harus yakin dan percaya terhadap keupayaan diri untuk berjaya dan maju dengan lebih cemerlang,” titah baginda.

Terdahulu, baginda Sultan berkenan mencemar duli mengurniakan beberapa Anugerah dan Pingat Tertinggi kepada graduan UPM menerusi pelbagai peringkat pengajian tertinggi di universiti berkenaan.

Dalam perkembangan sama, seramai 7,200 graduan UPM menerima ijazah dan diploma pengajian di Majlis Konvokesyen UPM di sini, pagi ini.

EZY