Categories
EKONOMI

Ekonomi Malaysia 2017 diramal pada 4 – 5 peratus

KUALA LUMPUR 22 OKT: Laporan Ekonomi 2016/17 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) menjangka ekonomi Malaysia berkembang antara 4.0 dan 5.0 peratus.

Perkembangan ini bersamaan dengan pertumbuhan 5.0 peratus pendapatan negara kasar (PNK) per kapita kepada RM39,699 daripada RM37,812.

“Dari segi permintaan, pertumbuhan akan disokong oleh permintaan domestik, khususnya penggunaan swasta dan perbelanjaan pelaburan swasta yang dijangkakan berkembang 6.3 dan 5.8 peratus.

“Sejajar dengan aktiviti pelaburan yang meningkat lebih tinggi, jurang tabungan pelaburan dijangka mengecil kepada 0.5 hingga 1.5 peratus. Inflasi akan kekal terurus, manakala ekonomi akan terus beroperasi dalam keadaan guna tenaga penuh,” menurut laporan itu.

Laporan itu turut menyatakan semua sektor ekonomi dijangka menyumbang kepada pertumbuhan, dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan menerajui pertumbuhan itu.

“Menerusi komitmen kerajaan untuk meningkatkan pendapatan, defisit fiskal dijangka mengecil kepada 3.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Perkembangan ini akan memperkukuh asas ekonomi dan petanda baik bagi sesebuah negara dalam proses peralihan daripada ekonomi sederhana tinggi kepada ekonomi maju berpendapatan tinggi,” katanya.

EZY