Categories
NASIONAL

Tun M: Jadikan kejayaan Selangor model pentadbiran

OLEH NAZLI IBRAHIM

MUAR, 8 OKT: Kerajaan Selangor adalah model terbaik untuk dicontohi sekiranya pembangkang berjaya membentuk kerajaan baru di peringkat Persekutuan selepas pilihan raya umum nanti.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Kerajaan Pakatan negeri itu berjaya membuktikan kemampuan mentadbir kerajaan dengan urus tadbir baik dan memberi pelbagai faedah rakyat.

“Dulu saya ingat parti lawan ini apa yang dia tahu pasal pentadbiran? Dia habiskan duit rakyatlah tetapi sekarang apa yang sebaliknya bila dia dirikan.

“Mereka lakukan benda baik terutama kepada orang miskin,” kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata demikian pada program ceramah Bicara Rakyat Bersatu di Sungai Terap, Pagoh di sini, malam tadi.

Jelasnya, keadaan ini sekaligus menidakkan dakwaan kononnya hanya Umno yang mampu mengurus sesebuah kerajaan.

Katanya, antara program boleh dipertimbangkan sekiranya Pakatan berjaya merampas Putrajaya adalah pemberian air percuma, hadiah perkahwinan dan tabung kelahiran baru seperti mana Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS) yang dilaksanakan Kerajaan Selangor.

“Tentukan kita dapat kerajaan baru di peringkat Persekutuan supaya kita boleh buat seperti Kerajaan Selangor.

“Saya tak mahu janji tapi kita timbangkan bagi air percuma, bagi sedikit duit kalau kahwin tapi yang pertama sahajalah,” katanya.

Ceramah umum itu turut menampilkan Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

EZY