Categories
SELANGOR

128 tapak pelupusan sampah haram ditutup

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 NOV: Kerajaan Negeri mengambil tindakan tegas dengan menutup 128 tapak pelupusan sampah haram bagi tempoh 2015 hingga 2016.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mencatatkan tapak pelupusan haram tertinggi iaitu 68 tapak.

Katanya, ia ikuti Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sebanyak 34 tapak, Majlis Bandaraya Shah Alam (8), Majlis Perbandaran Selayang (6), Majlis Perbandaran Kajang (5), Majlis Perbandaran Klang (4), Majlis Perbandaran Petaling Jaya (3) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (1).

“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untk mengambil tindakan tegas ke atas tapak pelupusan haram yang beroperasi tanpa kebenaran di Selangor.

“Justeru, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengesan 128 tapak pelupusan sampah tidak dibenarkan dan mengambil tindakan penguatkuasaan untuk menutup tapak berkaitan,” katanya di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Hian Wah berkata Kerajaan Negeri komited memastikan kontraktor dilantik menghantar sampah ke tapak pelupusan sampah dibenarkan.

Katanya, antaranya sistem AVLS dipasang untuk mengenal pasti laluan dan lokasi lori untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) berkemampuan.

“Pihak PBT juga melaksanakan pemantauan di lapangan dan memastikan jadual keluar dan masuk lori di kawasan masing-masing.

“Kontraktor dikenakan syarat menggemukakan laporan bergambar dan resit ‘tipping fee’ setiap kali kontraktor kutipan sampah mengemukakan proses tuntutan kerja pada setiap bulan kepada PBT,” katanya.

EZY