Categories
NASIONAL

4 kertas siasatan dibuka, 3 individu ditahan

OLEH NAEEM RAFFI

Kuala Lumpur, 19 NOV: Sekurang-kurangnya empat kertas siasatan dibuka sepanjang pertembungan perhimpunan BERSIH 5 dan Baju Merah yang berakhir sepenuhnya jam 6 petang tadi.

Perkara itu diperincikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato’ Amar Singh Ishar Singh dalam kenyataan lewat petang tadi.

“Sepanjang perhimpunan ini berlangsung, sebanyak 28 laporan polis dibuat iaitu 20 laporan tangkapan dan lapan laporan Am.

“Empat kertas siasatan dibuka sepanjang perhimpunan ini,” katanya dalam kenyataan.

Empat kertas siasatan itu membabitkan laporan polis yang dibuat oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi mengikut Seksyen 147 / 511 Kanun Keseksaan kerana berhasrat mencetus rusuhan, pecah keamanan dan menggugat ketenteraman awam pada 17 November lalu.

Sementara itu, tangkapan juga dilakukan ke atas lelaki Melayu, 33 tahun kerana dengan sengaja mendatangkan cedera dengan menendang lelaki Cina peserta Kumpulan Baju Kuning dengan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

datuk-amar-singh-ishar-singhSatu lagi kertas siasatan dibuka membabitkan tangkapan lelaki Cina, 49 tahun atas kesalahan menggunakan Drone semasa perhimpunan dengan kes disiasat di bawah Seksyen 143 Peraturan-peraturan Penerbangan Awam.

Satu lagi tangkapan melibatkan lelaki Melayu, 33 tahun kerana memiliki senjata (parang dan buku lima) berjadual dengan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya.

“Perhimpunan BERSIH 5 dan Himpunan Baju Merah berlangsung seperti dirancang dan dijadualkan oleh kumpulan masing-masing walaupun larangan telah dikeluarkan.

“Tidak dinafikan juga berlaku kesesakan lalu lintas luar biasa kerana peserta perhimpunan berkumpul dan berarak di jalan-jalan raya,” katanya.

Tangkapan juga telah dibuat ke atas tiga lagi individu bersangkut siasatan di bawah Seksyen 147/511 Kanun Keseksaan.

Mereka adalah Aktivis Politik, Hishamuddin Rais, Setiausaha DAPSY Perak, Howard Lee Chuan How dan Exco Pemuda Umno, Armand Azha Abu Hanifah.

-nR-