Categories
NASIONAL

BERSIH 5: Lima pilih tidak jawab soalan polis

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Sue Lim dan empat pemimpin Pakatan yang dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis di Balai Polis Travers di Brickfields, Kuala Lumpur hari ini memilih tidak menjawab sebarang soalan dikemukakan pihak polis.

Sue Lim berkata, kelima-lima mereka yang dipanggil untuk diambil kenyataan berhubung penglibatan dalam perhimpunan aman BERSIH 5 pada mempunyai hak untuk memilih tidak menjawab sebaran soalan pihak polis.

“Kami memberi kerjasama baik kepada pihak polis untuk hadir bersama barisan peguam kami yang diketuai Peguam Saiful Izham dan selesai dalam tempoh sejam setengah.

“Pihak kami sepakat memilih tidak menjawab tetapi kami memilih untuk menjawab di mahkamah sekiranya perlu.

Ng Suee Lim“Ini selaras dengan Acara Kanun Jenayah, Seksyen 112 yang membolehkan pihak yang dipanggil itu memilih untuk menjawab atau tidak menjawab tetapi menjawab di mahkamah,” kata Sue Lim ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, mereka menyerahkan perkara ini kepada Pegawai Penyiasat sama ada akan meneruskan kes ini ke mahkamah atau sebaliknya.

Bagaimanapun katanya, polis tidak sepatutnya tidak meneruskan siasatan isu itu kerana rakyat negara ini mempunyai hak berhimpun dan bersuara seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menasihat polis supaya lebih fokus menjaga keamanan awam seperti membenteras jenayah dan tidak perlu buang masa bazirkan duit rakyat untuk siasat perhimpunan aman ini kerana perhimpunan BERSIH 5 sudah terbukti diketahui seluruh dunia sebagai perhimpunan aman yang tiada provokasi, tiada pergaduhan dan lain-lain,” katanya lagi.

Terdahulu, kira-kira jam 11.00 pagi tadi Sue Lim bersama Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah; ADN Penanti, Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin; ADN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Afzainizam Abdul Rahman hadir selepas dipanggil pihak polis untuk diambil keterangan mereka berhubung BERSIH 5, pada 19 November lalu.

Pertemuan berlangsung selama kira-kira satu jam setengah itu turut disertai barisan peguam yang diketuai Saiful Izham Ramli, Adi Dzulkarnain Zulkafly dan Nik Zarith Nik Moustpha.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

“Saya faham pengalaman pahit Maria,” kata Anwar

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan polis yang menahan Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), pada 18 November lalu.

Beliau berkata, jika pemimpin masyarakat madani seperti Maria boleh ditahan di bawah SOSMA, maka tiada seorang rakyat Malaysia akan selamat daripada terkena nasib sama.

Katanya, beliau turut memahami pengalaman pahit dialami Maria ketika ini berdasarkan pengalaman peribadinya sendiri sebagai bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Semasa penahanan saya di bawah ISA di Batu Cantonment yang mana saya percaya Maria sedang ditahan, tidur saya diganggu, dikenakan soal siasat tidak tentu waktunya dan amat mengelirukan, makanan serta keadaan kebersihan yang kurang memuaskan.

“Lampu terang dibiar terpasang dalam bilik tahanan siang dan malam,” katanya yang juga bekas Ketua Pembangkang dalam kenyataan.

AnwarAnwar berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu mengambil tanggungjawab ke atas penahanan Maria, malahan menganggap keengganan beliau mengambil tindakan itu tidak boleh dimaafkan.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Maria, BERSIH 2.0 dan rakyat Malaysia yang berani membanjiri Kuala Lumpur dengan semangat BERSIH 5, pada 19 November lalu.

“Saya amat berbangga dengan capaian rakyat Malaysia yang menunjukkan paparan perpaduan juga niat utuh yang disuarakan secara aman dan cukup bermaruah,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar mendakwa penangkapan dan penahanan Maria tidak ada kena mengena dengan politik atau perhimpunan BERSIH 5.

Sebaliknya, beliau berkata, Maria sedang disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana didakwa terbabit dalam aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen yang didakwa berdasarkan “dokumen” ditemui di pejabat BERSIH.

-AA-

Categories
NASIONAL

Tian Chua, Zuraida dibebaskan

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 21 NOV: Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin yang ditahan polis berkait Perhimpunan Aman BERSIH 5 dibebaskan hari ini.

Turut dibebaskan Ketua Dapsy Perak, Howard Lee, aktivis politik, Hishamuddin Rais dan artis grafik, Fahmi Reza Md Zarin.

Kesemua mereka ditahan pada Jumaat lalu dan disiasat atas pelbagai kesalahan.

tian-bebasTian yang juga Ahli Parlimen Batu berkongsi berita pembebasannya di laman twitter.

“Meninggalkan Balai Polis Dang Wangi,” tulisnya ringkas.

Semalam, lima ahli politik dan tiga aktivis yang ditahan sebelum BERSIH 5 berlangsung turut dibebaskan.

Mereka ialah Urusetia Bersih 2.0 Mandeep Singh; ahli DAP Ronnie Liu, Jimmy Wong dan Lee Khai Meng; ahli jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan; aktivis pelajar Muhamad Luqman Nul Haqim Zul Razali, Anis Syafiqah Md Yusof dan Muhammad Safwan Anang.

-nR-

Categories
NASIONAL

“Kita bukan Jamal, pencuri atau pembunuh” – MB

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Rakyat yang menyertai Perhimpunan Aman BERSIH 5 hari ini hanya menuntut supaya Malaysia diuruskan dengan baik tanpa penyelewengan berleluasa.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, justeru tindakan polis menahan beberapa individu berkenaan perhimpunan itu tidak sepatutnya berlaku.

“Kita bukan Jamal, kita bukan pencuri, kita bukan pembunuh tetapi hanya rakyat yang mahukan keadilan,” katanya ketika berucap di dihadapan kira-kira 30,000 peserta BERSIH 5 di KLCC, di sini, petang tadi.

Katanya, tindakan rakyat turun berhimpun hari ini bukan satu kesalahan tetapi demi menyelamatkan negara.

“Rakyat harus bersedia menumbangkan (Datuk Seri) Najib (Razak) dan Umno-Barisan Nasional (BN),” katanya.

-AA-

Categories
NASIONAL

Tun M: Najib tak patut jadi PM

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pelantikan Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri sebagai episod malang buat negara.

Katanya, hal itu ekoran kerajaan yang diterajui Najib menjadikan Malaysia dikenali sebagai negara kleptokrasi.

“Bila saya di luar negara, ada yang menyatakan terkejut dengan keadaan Malaysia hari ini,” katanya di hadapan kira-kira 30,000 perserta perhimpunan aman BERSIH 5 di KLCC, di sini, hari ini.

Katanya, antara kerosakan besar dilakukan Najib adalah membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, kerajaan diterajui Najib juga menunjukkan sikap kuku besinya dengan menangkap pihak tidak sehaluan dengan beliau.

-AA-

Categories
NASIONAL

4 kertas siasatan dibuka, 3 individu ditahan

OLEH NAEEM RAFFI

Kuala Lumpur, 19 NOV: Sekurang-kurangnya empat kertas siasatan dibuka sepanjang pertembungan perhimpunan BERSIH 5 dan Baju Merah yang berakhir sepenuhnya jam 6 petang tadi.

Perkara itu diperincikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato’ Amar Singh Ishar Singh dalam kenyataan lewat petang tadi.

“Sepanjang perhimpunan ini berlangsung, sebanyak 28 laporan polis dibuat iaitu 20 laporan tangkapan dan lapan laporan Am.

“Empat kertas siasatan dibuka sepanjang perhimpunan ini,” katanya dalam kenyataan.

Empat kertas siasatan itu membabitkan laporan polis yang dibuat oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi mengikut Seksyen 147 / 511 Kanun Keseksaan kerana berhasrat mencetus rusuhan, pecah keamanan dan menggugat ketenteraman awam pada 17 November lalu.

Sementara itu, tangkapan juga dilakukan ke atas lelaki Melayu, 33 tahun kerana dengan sengaja mendatangkan cedera dengan menendang lelaki Cina peserta Kumpulan Baju Kuning dengan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

datuk-amar-singh-ishar-singhSatu lagi kertas siasatan dibuka membabitkan tangkapan lelaki Cina, 49 tahun atas kesalahan menggunakan Drone semasa perhimpunan dengan kes disiasat di bawah Seksyen 143 Peraturan-peraturan Penerbangan Awam.

Satu lagi tangkapan melibatkan lelaki Melayu, 33 tahun kerana memiliki senjata (parang dan buku lima) berjadual dengan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya.

“Perhimpunan BERSIH 5 dan Himpunan Baju Merah berlangsung seperti dirancang dan dijadualkan oleh kumpulan masing-masing walaupun larangan telah dikeluarkan.

“Tidak dinafikan juga berlaku kesesakan lalu lintas luar biasa kerana peserta perhimpunan berkumpul dan berarak di jalan-jalan raya,” katanya.

Tangkapan juga telah dibuat ke atas tiga lagi individu bersangkut siasatan di bawah Seksyen 147/511 Kanun Keseksaan.

Mereka adalah Aktivis Politik, Hishamuddin Rais, Setiausaha DAPSY Perak, Howard Lee Chuan How dan Exco Pemuda Umno, Armand Azha Abu Hanifah.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

BERSIH 5: Himpunan berjaya, polis kawal hingga akhir

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Himpunan BERSIH 5 yang berlangsung di ibu negara hari ini berjalan lancar dengan semua pihak memberi kerjasama tanpa berlaku insiden tidak diingini.

Sejak awal pagi hingga lewat petang, peserta himpunan mematuhi segala arahan diberi bagi memastikan ia berjalan aman seperti dirancang.

Walaupun penganjuran himpunan itu cuba diganggu pihak tertentu khususnya Gerakan Baju Merah, namun usaha terbabit tidak berhasil ekoran kebijaksanaan pasukan polis mengawal keadaan.

Kepatuhan peserta tidak menceroboh kawasan larangan seperti Dataran Merdeka dan Dataran Bandaraya Kuala Lumpur, memudahkan tugas polis mengendalikan himpunan hingga ke akhir.

Ketiadaan Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah dalam himpunan kali ini tidak memudarkan semangat rakyat bagi meneruskannya, malahan penyertaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan kelainan bagi edisi kali ini.

whatsapp-image-2016-11-19-at-6-14-02-pmPengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu disertai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan parti lain.

Tidak ketinggalan, mantan Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga; Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presidennya juga Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali serta Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar juga pimpinan dari DAP juga Amanah.

Himpunan kali ini bagi menuntut pilihan raya bersih, kerajaan bersih, memperkukuh demokrasi berparlimen, hak membantah serta memperkasakan Sabah dan Sarawak.

Hampir 70,000 peserta menyertai BERSIH 5 dan ia disifatkan berjaya oleh penganjur.

-AA-

Categories
NASIONAL

Merah hilang dalam gelombang kuning menjelang petang

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Peserta Perhimpunan Aman BERSIH 5 semakin ramai membanjiri ibu kota pada sebelah petang.

Bagaimanapun, satu lagi kumpulan yang turut mengadakan demontrasi hari ini, kumpulan baju merah pula semakin menghilangkan diri.

Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, ini membuktikan anggota baju merah tidak mempunyai daya ketahanan seperti peserta BERSIH 5.

“Petang ini merah dah hilang. Mereka bila lapar, mereka baliklah,” kata Shamsul Iskandar di pentas sementara berhampiran KLCC petang ini.

4df5b26d-ed66-4eaa-b8cb-554b96c71ecc-1Jelasnya, ini turut menunjukkan perjuangan baju merah tidak diterima rakyat.

Sementara itu, di KLCC petang ini mengumpulkan pemimpin utama parti politik dan juga pelbagai NGO.

Antara yg turut memberikan ucapan adalah Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden KEADILAN; Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presidennya, Tan Sri Mihyiddin Yassin.

-nR-

Categories
NASIONAL

KLCC dipenuhi 30,000 baju kuning

OLEH NAEEM RAFFI

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Pekarangan Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) semakin dibanjiri peserta BERSIH apabila lokasi itu mejadi pusat berhimpun dari semua lokasi sekitar ibu negara.

Setakat berita ini ditulis, dianggarkan sekitar 30,000 peserta selamat tiba dari lokasi berasingan sebelum ini sehingga membanjiri Jalan Ampang.

Bagaimanapun, jumlah peserta BERSIH akan terus meningkat memandangkan ramai yang masih dalam perjalanan dari lokasi sekitar termasuk kumpulan dari Masjid Jamek yang sebahagiannya menggunakan perkhidmatan LRT untuk KLCC.

whatsapp-image-2016-11-19-at-1-39-07-pmKLCC menjadi lokasi pilihan untuk kemuncak perhimpunan BERSIH 5 setelah Dataran Merdeka dikawal ketat pihak berkuasa dari terus dimasuki peserta.

Bagaimanapun, lain pula ceritanya dengan gerombolan Baju Merah. Kebanyakan dari mereka sudah bersurai meninggalkan lokasi berkumpul sebelum ini.

Lokasi Baju Merah di Jalan Raja Laut juga, hampir tidak kelihatan kelibat mereka.

-nR-

Categories
NASIONAL

Maria Chin ditahan bawah SOSMA

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Memetik MalaysiaKini, perkara terbabit disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Sebelum itu, satu mesej dari kumpulan peguam Lawyers for Liberty memaklumkan perkara sama.

SOSMA diperkenal bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan.

Maria ditahan semalam selepas serbuan polis dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di pejabat BERSIH di Petaling Jaya semalam.

Beliau ditahan bersama pegawai sekretariat BERSIH, Mandeep Singh yang ditahan berkaitan tuduhan merusuh.

Polis turut menyiasat BERSIH di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan berkenaan kegiatan memudaratkan demokrasi berparlimen.

Siasatan itu dibuat selepas muncul kembali isu gabungan proreformasi sistem pilihan raya terbabit menerima dana daripada Open Society Foundation, yang dikaitkan dengan hartawan George Soros.

-AA-

Categories
NASIONAL

Baju Merah tinggalkan Padang Merbok dengan sampah

OLEH NAEEM RAFFI

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Padang Merbok lokasi gerombolan Baju Merah didapati dipenuhi sampah sarap sebaik sahaja mereka meninggalkan lokasi itu selepas gagal melepasi kawalan polis.

Baju Merah dibawah pimpinan Exco Umno, Armand Azhar Abu Hanifah itu mula berkumpul sejak jam 12.30 tengah hari tadi sebelum beransur ke lokasi lain sekitar jam 2.50 petang tadi.

Berbeza dengan peserta BERSIH 5, tinjauan SelangorKini di beberapa lokasi tumpuan Baju Kuning itu mendapati ramai dalam kalangan mereka memilih menjadi sukarelawan mengutip sampah.

Tindakan itu diambil atas rasa tanggungjawab memastikan keindahan ibu negara tidak tercemar.2ec27229-746f-4ad6-9255-a1aa88f24f19

-nR-

Categories
NASIONAL

Solat tidak terabai walaupun sertai Bersih 5

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Peserta beragama Islam dalam himpunan BERSIH 5 tidak mengabaikan kewajipan menunaikan solat fardhu apabila masuk waktu.

Tanpa mengira tempat, kesempatan itu digunakan sebahagian peserta menunaikan solat zohor secara bergilir-gilir.

Menariknya, peserta bukan Islam turut membantu membuat halangan supaya rakan mereka dapat menjalankan ibadah tanpa gangguan.

Adalah jelas himpunan BERSIH 5 dilakukan tidak sekadar menuntut keadilan dalam pilihan raya, namun turut mewujudkan kerjasama erat dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini.

Ia sekaligus menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan himpunan itu berbaur perkauman.

-AA-