Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

4,400 penjawat awam bakal terima manfaat 3S

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 NOV: Seramai 4,400 penjawat awam dijangka menerima manfaat program Saringan Sihat Selangor (3S) 2016 dengan peruntukan berjumlah RM291,500.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, penjawat awam berpeluang menjalani lima jenis ujian pemeriksaan kesihatan secara percuma.

pc-12-of-50“Jika dilakukan di luar, kos setiap ujian dianggar sekitar RM60 namun kita menawarkan secara percuma.

“Selepas pemeriksanaan, peserta akan menerima keputusan hasil ujian menerusi surat dan sekiranya terdapat penyakit mereka diminta berjumpa pengamal perubatan,” katanya dalam sidang media.

Terdahulu, beliau merasmikan program Saringan Sihat Selangor 2016 di Foyer Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

 

Daroyah berkata, program anjuran bersama Universiti Selangor (UNISEL) itu juga bakal diperluas kepada orang awam bermula tahun hadapan.

“Kita akan laksanakannya menerusi pejabat khidmat DUN di kawasan masing-masing,” katanya.

pc-31-of-503S menawarkan pemeriksaan kesihatan secara percuma termasuk ujian profil lipid, glukosa, fungsi ginjal, fungsi hati dan pemeriksaan kanser prostat untuk lelaki.

Peserta mestilah berumur 30 tahun ke atas manakala bagi ujian kanser prostat pula perlu sekurang-kurangnya berumur 35 tahun.

Syarat lain peserta mempunyai sejarah penyakit tidak berjangkit dalam keluarga, tidak mengambil sebarang ubat jangka panjang dan bebas dari penyakit tidak berjangkit.

Majlis perasmian turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UNISEL, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin dan Timbalan Pengarah Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Mas Sakdah Kamaruzzaman.

Selepas SUK, program akan menjelajah ke 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sembilan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) seluruh Selangor bermula 21 November ini.

 

-nR-