Categories
SELANGOR

80% suka, sangat suka Belanjawan Selangor, 50% tolak belanjawan ikat perut Najib

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 NOV: Penonton Facebooklive lebih menyukai Belanjawan 2017 Negeri Selangor yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berbanding belanjawan ‘ikat perut’ Kerajaan Persekutuan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Tze Han, berkata hal ini berikutan lebih 80 peratus daripada 10,000 penonton memberikan reaksi suka dengan menekan butang ‘like’ dan sangat suka dengan menekan butang ‘hati’ atau ‘love’, manakala hanya 1.5 peratus sahaja yang memberi reaksi negatif (sedih dan marah).

“Sebaliknya tentang bajet 2017 dibentangkan Perdana Menteri pada 21 Oktober lalu, jelas sekali bajet Persekutuan ditolak rakyat dan menerima reaksi yang sangat negatif.

“Daripada 60,000 reaksi diberikan penonton yang mengikuti facebooklive hampir 50 peratus menunjukkan reaksi negatif iaitu memilih simbol marah dan sedih,” kata Tze Han ketika membahaskan Belanjawan 2017 Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini.

Jelasnya, ini membuktikan bahawa rakyat di negara ini lebih gemar dengan Belanjawan Selangor yang mempeduli rakyat dan menolah belanjawan ikat perut yang dibentangkan oleh Perdana Menteri.

Sebelum ini, sebaik sahaja Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2017, laman rasmi facebook beliau dihujani pelbagai kecaman nitizen.

Perkara itu berlarutan hingga menenggelamkan komen positif segelintir nitizen yang masih memberikan sokongan kepada Najib dan Umno-Barisan Nasional.

-nR-