Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar saran Najib contohi Belanjawan Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 NOV: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencontohi Belanjawan 2017 Negeri Selangor ekoran kemampuan negeri itu menguruskan ekonomi secara berhemat.

“Perdana Menteri perlu menelusuri Belanjawan Selangor yang mampu mengurus ekonomi secara berhemat, menghargai khidmat penjawat awam dan meneruskan program kepedulian rakyat dalam bidang perumahan, pendidikan dan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Jelasnya, sebaliknya pentadbiran Najib pula bertindak menekan rakyat dengan menaikkan harga bahan api dan minyak masak selepas belanjawan dibentangkan.

Anwar turut menyentuh tindakan terdesak kerajaan menyerahkan kepentingan ekonomi negara kepada China sehingga mengheret ekonomi negara dalam risiko.

“Negara amat terdesak dari segi ekonomi sehingga kelihatan menyerah terlalu banyak kepentingan ekonomi ke negara China. Kita bersetuju dan alukan kesediaan China melabur dan terlibat dalam kegiatan ekonomi negara.

“Tetapi ketergantungan ekonomi Malaysia kepada mana-mana satu negara tidak wajar dan akan menjejaskan kepentingan kebebasan negara dan strategi geo-politik dasar luar negara,” katanya lagi.

-nR-

Categories
SELANGOR

Bukan rakyat Selangor sahaja ternantikan Belanjawan Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 NOV: Belanjawan Negeri Selangor bukan sahaja ditunggu-tunggu segenap lapisan masyarakat di Selangor, malah masyarakat di negeri lain turut ternanti-nanti untuk mengetahui dengan mendalam inti pati belanjawan setiap kali menjelangnya hari pembentangannya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, berkata hal ini berikutan kemampuan pentadbiran Kerajaan Negeri itu memberikan pelbagai manfaat kepada rakyatnya secara menyeluruh walaupun peruntukan disediakan untuk belanjawan tahunan itu tidak sebesar belanjawan Kerajaan Persekutuan.

“Umpama seseorang yang ada wang sebanyak RM1,000 tetapi memberi RM50 dan seorang lagi mempunyai wang RM2.6 bilion tetapi hanya memberi RM100 sahaja.

shuhaimi“Walaupun dia beri RM100 tetapi peratusannya kecil berbanding pihak yang memberi RM50 tadi,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2017 Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini.

Jelasnya, selain itu Kerajaan Negeri turut memperuntukkan peratusan belanja pembangunan yang jauh lebih besar berbanding peruntukan yang disediakan dalam belanjawan Kerajaan Persekutuan.

Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, Belanjawan 2017 Negeri Selangor sekali lagi mencuri tumpuan orang ramai termasuk nitizen di laman-laman sosial apabila sentiasa tampil dengan idea lebih segar dengan menyediakan pelbagai skim untuk rakyat.

Berbanding Kerajaan Barisan Nasional (BN ) walaupun sudah mentadbir kerajaan lebih 50 tahun, namun sikap mementingkan diri, tiada minat dan kesungguhan untuk memperbaiki kehidupan rakyat menyebabkan mereka ketandusan idea segar bagi tujuan itu.

-nR-

Categories
SELANGOR

80% suka, sangat suka Belanjawan Selangor, 50% tolak belanjawan ikat perut Najib

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 NOV: Penonton Facebooklive lebih menyukai Belanjawan 2017 Negeri Selangor yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berbanding belanjawan ‘ikat perut’ Kerajaan Persekutuan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Tze Han, berkata hal ini berikutan lebih 80 peratus daripada 10,000 penonton memberikan reaksi suka dengan menekan butang ‘like’ dan sangat suka dengan menekan butang ‘hati’ atau ‘love’, manakala hanya 1.5 peratus sahaja yang memberi reaksi negatif (sedih dan marah).

“Sebaliknya tentang bajet 2017 dibentangkan Perdana Menteri pada 21 Oktober lalu, jelas sekali bajet Persekutuan ditolak rakyat dan menerima reaksi yang sangat negatif.

“Daripada 60,000 reaksi diberikan penonton yang mengikuti facebooklive hampir 50 peratus menunjukkan reaksi negatif iaitu memilih simbol marah dan sedih,” kata Tze Han ketika membahaskan Belanjawan 2017 Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini.

Jelasnya, ini membuktikan bahawa rakyat di negara ini lebih gemar dengan Belanjawan Selangor yang mempeduli rakyat dan menolah belanjawan ikat perut yang dibentangkan oleh Perdana Menteri.

Sebelum ini, sebaik sahaja Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2017, laman rasmi facebook beliau dihujani pelbagai kecaman nitizen.

Perkara itu berlarutan hingga menenggelamkan komen positif segelintir nitizen yang masih memberikan sokongan kepada Najib dan Umno-Barisan Nasional.

-nR-