Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Air pasang besar 5.6 meter, Selangor sedia hadapi gelombang ketiga

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 NOV : Kerajaan Negeri bersiap sedia menghadapi fenomena air laut pasang besar gelombang ketiga yang dijangka pada 14 hingga 18 November ini.

Unit Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataannya berkata, fenomena diramal berada pada ketinggian paras air laut 5.6 meter itu membabitkan beberapa daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“Kerajaan Negeri menasihatkan agar penduduk di kawasan berisiko dapat mematuhi arahan Pihak Berkuasa Keselamatan dan mengambil langkah persediaan.

“Penduduk disaran mendaftar dan berpindah ke pusat-pusat pemindahan berdekatan disediakan (bermula) Ahad ini,” kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan tersebut, dua daerah iaitu, Klang dan Sabak Bernam dikelaskan di bawah paras zon merah dan berisiko tinggi.

Kawasan tersebut melibatkan persisiran Kampung Tok Muda dan Batu 5, Kapar dengan penduduk masing-masing ditempatkan di Pusat Pemindahan Dewan Serbaguna Kampung Tok Merah dan Dewan Serbaguna Jalan Palembang, Kampung Rantau Panjang bagi daerah Klang.

Sementara di daerah Sabak Bernam, kesemua mangsa akan ditempatkan di Pusat Pemindahan Dewan Sungai Air Tawar melibatkan penduduk di Kampung Sungai Air Tawar dan Tebuk Mendeling.

Daerah Kuala Selangor, Sepang dan Kuala Langat pula diletakkan di bawah paras zon kuning berisiko sederhana melibatkan enam penempatan utama.

Kawasan tersebut adalah Pasir Penambang, Bagan Pasir, Pantai Remis, Pesisir Pantai Bagan Lalang, Pantai Kelanang dan Pesisir Pantai Tanjung Sepat.

Terdahulu, kawasan persisiran pantai negeri dilanda fenomena air pasang besar pada awal dan pertengahan September lalu.

RM4.4 juta juga diperuntukkan Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran JPS (Selangor) sebagai persediaan untuk pembaikan ban pantai, sebelum ini.

-nR-