Categories
SELANGOR

Beban ekonomi, selebriti kongsi nasib pemuzik jalanan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LANGAT, 17 NOV : Mengecapi dunia populariti sebagai selebriti bukanlah jaminan terbaik meraih kemasyuran dan kesenangan hidup dalam situasi ketidaktentuan ekonomi kini.

Pemuzik, Mustafa Kamal Rahmat atau lebih dikenali sebagai Mus Satira berkongsi kesukaran pemuzik kini apabila terpaksa meneruskan kelangsungan hidup dan mencari rezeki sebagai pemuzik di jalanan.

“Graduan yang lahir sebagai pemuzik terlalu ramai semuanya keluar dan menghadapi kesukaran mendapat pekerjaan sebab kebanjiran pemuzik luar khususnya dari Indonesia.

“Keadaan ini menyebabkan pemuzik kita terpaksa cari makan sebagai pemuzik jalanan dalam keadaan sekarang ini yang terlalu banyak beban dan masalah,” katanya.

konsert-ambang-2017Mus Satira bersama kumpulannya sebelum ini pernah bergandingan bersama penyanyi Zamani Slam menubuhkan kumpulan Karisma di awal kemunculan Zamani, sekitar 1990-an.

Bagaimanapun, Satira seolah-olah lenyap dan semakin dilupakan peminat muzik tanah air susulan persaingan pemuzik tempatan ketika itu.

Muncul dengan perkembangan terbaru, Mus berkata, beliau dan ahli kumpulan Satira lain masih aktif dalam bidang seni dengan mengiringi persembahan penyanyi lain.

Terbaru, Satira bakal muncul bersama Zamani dan Sarah Fazny pada konsert ambang merdeka Kembali Terjalin 2017 di Gold Coast Morib International Resort, 31 Disember ini.

Dalam perkembangan tersebut, Satira bakal mengiringi persembahan Zamani dan Sarah selain turut mempersembahkan beberapa buah lagu pada konsert tersebut.

“Kembali Terjalin adalah sebagai simbolik kepada penyatuan ‘reunion’ buat ahli Satira untuk melangkah lebih jauh lagi dalam bidang seni ini.

“Apa yang boleh kami janjikan, kita akan berhibur secara sihat dengan rentak muzik rock kami,” kata Mus lagi.

Tiket-tiket konsert dijual serendah RM55, dan boleh ditempah di talian hotline 03-31981028 atau membuat carian di www.gcr.com.my.

-nR-