Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Bebas segera, Maria Chin bukan pengganas

SHAH ALAM, 25 NOV: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menggesa pihak berkuasa segera membebaskan Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah dari tahanan tanpa sebarang syarat.

Katanya, Maria yang kini ditahan di bawah Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) berada dalam sel kurungan seorang diri tidak bertingkap yang dikhususkan untuk pengganas.

“Sebelum mempengerusikan BERSIH, Maria mengasaskan EMPOWER dan berkempen, terutama menerusi internet untuk menghentikan keganasan ke atas wanita.

“Kini beliau adalah pemimpin gerakan pilihan raya bebas dan adil serta aktivis menghentikan keganasan atas wanita.

“Beliau bukan pengganas, beliau perlu dibebaskan segera,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Membebaskan Wanita Daripada Keganasan pada peringkat antarabangsa.

Pada masa sama, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden KEADILAN turut menyeru rakyat memberi sokongan penuh kepada kempen pembebasan Maria.

Pada 18 November lalu, Maria ditahan mengikut SOSMA, diikuti pemimpin dan aktivis pro BERSIH.

-AA-