Categories
NASIONAL

BERSIH 5: Lima pilih tidak jawab soalan polis

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Sue Lim dan empat pemimpin Pakatan yang dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis di Balai Polis Travers di Brickfields, Kuala Lumpur hari ini memilih tidak menjawab sebarang soalan dikemukakan pihak polis.

Sue Lim berkata, kelima-lima mereka yang dipanggil untuk diambil kenyataan berhubung penglibatan dalam perhimpunan aman BERSIH 5 pada mempunyai hak untuk memilih tidak menjawab sebaran soalan pihak polis.

“Kami memberi kerjasama baik kepada pihak polis untuk hadir bersama barisan peguam kami yang diketuai Peguam Saiful Izham dan selesai dalam tempoh sejam setengah.

“Pihak kami sepakat memilih tidak menjawab tetapi kami memilih untuk menjawab di mahkamah sekiranya perlu.

Ng Suee Lim“Ini selaras dengan Acara Kanun Jenayah, Seksyen 112 yang membolehkan pihak yang dipanggil itu memilih untuk menjawab atau tidak menjawab tetapi menjawab di mahkamah,” kata Sue Lim ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, mereka menyerahkan perkara ini kepada Pegawai Penyiasat sama ada akan meneruskan kes ini ke mahkamah atau sebaliknya.

Bagaimanapun katanya, polis tidak sepatutnya tidak meneruskan siasatan isu itu kerana rakyat negara ini mempunyai hak berhimpun dan bersuara seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menasihat polis supaya lebih fokus menjaga keamanan awam seperti membenteras jenayah dan tidak perlu buang masa bazirkan duit rakyat untuk siasat perhimpunan aman ini kerana perhimpunan BERSIH 5 sudah terbukti diketahui seluruh dunia sebagai perhimpunan aman yang tiada provokasi, tiada pergaduhan dan lain-lain,” katanya lagi.

Terdahulu, kira-kira jam 11.00 pagi tadi Sue Lim bersama Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah; ADN Penanti, Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin; ADN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Afzainizam Abdul Rahman hadir selepas dipanggil pihak polis untuk diambil keterangan mereka berhubung BERSIH 5, pada 19 November lalu.

Pertemuan berlangsung selama kira-kira satu jam setengah itu turut disertai barisan peguam yang diketuai Saiful Izham Ramli, Adi Dzulkarnain Zulkafly dan Nik Zarith Nik Moustpha.

-nR-